Kerjasama kerajaan, rakyat penting untuk jayakan PKP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Membenarkan essential services beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh atau total lockdown merupakan satu tindakan yang tepat diambil oleh kerajaan.

Bagaimanapun, wujud pertikaian dan persoalan mengenai bagaimana keputusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menapis kategori yang dikatakan essential services, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad.

- Advertisement -

“Baru-baru ini saya sendiri terkejut apabila diberikan salinan surat kebenaran kepada Heineken dan Carlsberg pada masa itu.

“Ini sesuatu yang sangat mengejutkan kerana arak ini bukanlah essential drink, banyak lagi minuman lain yang lebih baik dan bermanfaat untuk digunakan, diambil semasa PKP ini.

“Jadi bagi saya mungkin kerisauan netizen itu ada asasnya setelah didedahkan ada syarikat-syarikat yang bukan daripada kategori ‘essential services’ dibenarkan untuk beroperasi.

“Maka bagi saya, matlamat untuk kita menjaga nyawa itu perlu kita laksanakan dengan sebaik mungkin dengan benar-benar menapis ‘essential services’ yang perlu sahaja untuk beroperasi dengan 60 peratus kapasiti pekerja dan pematuhan terhadap SOP yang sangat ketat,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, tindakan yang diambil kerajaan adalah sangat penting untuk memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan benar-benar serius bukan sekadar untuk menyekat orang awam untuk keluar daripada rumah, bahkan untuk memastikan SOP yang ada dipatuhi sepenuhnya untuk menjayakan agenda PKP 3.0.

Justeru itu, beliau meminta MITI membuat tapisan yang ketat bagi memastikan pemohon-pemohon yang memenuhi kriteria yang ditetapkan sahaja yang benar-benar diluluskan.

Tambah Kamaruzaman, bagi memastikan matlamat PKP dicapai dengan baik, kerjasama yang erat di antara kerajaan dan rakyat perlu diambil kira.

“Kalau salah satu pihak dilihat tidak begitu mematuhi peraturan yang dikeluarkan ini sama ada di peringkat kerajaan mahupun di peringkat rakyat maka ianya akan menjejaskan matlamat PKP ini daripada dijayakan,” katanya pada satu sesi soal jawab, ‘Anda Tanya, KZ Jawab’ yang bertajuk ‘Total Lockdown: Kesihatan Awam Dan Kelangsungan Hidup’ di Facebook beliau, semalam. – HARAKAHDAILY 4/6/2021