Akibat ziarah terlarang, nyawa menjadi taruhan

Rama-rama dan sang khalifah: Akibat ziarah terlarang, nyawa menjadi taruhan

- Advertisement -

DI SUATU kawasan hutan tropika di benua Asia, seekor rama-rama kerdil sedang mengepakkan sayapnya sambal mengelilingi jambangan bunga-bungaan.

Tanpa disedari si rama-rama, setiap kali sayapnya digerakkan, sayapnya yang kecil ini telah mengubah hala tuju tiupan angin.

Bermula dengan angin yang bertiup perlahan, tiupan ini semakin membesar dan bergerak dengan pantasnya.

Lantas, setelah beberapa minggu berlalu, angin tadi telah tiba di kepulauan Caribbean dan mengganas menjadi ribut taufan.

- Advertisement -

Inilah aksi seekor rama-rama yang tanpa sengaja telah membawa kepada bencana besar di kawasan lain. Kesan rama-rama dan Teori Kekacauan atau ‘Chaos Theory’ yang diperkenalkan oleh Edward Lorenz suatu ketika dahulu yang digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang.

Ia juga menjadi satu metafora yang menunjukkan sesuatu tindakan yang kecil;  mungkin nampak remeh dan tidak bermakna boleh menjadi pemangkin kepada rantaian kejadian yang membawa kepada insiden yang lebih besar impaknya.

Jika kita berbalik kepada keadaan semasa, segala perbuatan kita pada hari ini, tanpa kita sedari, mungkin menjadi pencetus kepada keadaan atau peristiwa yang lebih besar sama ada buruk atau baik di kemudian hari.

Edward Lorenz: The Butterfly Effect | segiuniversity.edu.my Custom Academic  Help

Satu perbuatan yang umumnya dituntut seperti menziarahi keluarga pada Aidilfitri yang lalu telah membawa kesan yang besar kepada masyarakat umum. Kluster-kluster baharu akibat kunjungan terlarang ini juga telah meragut beberapa nyawa yang tidak berdosa.

Anak-anak telah menjadi penyebab kematian saudara mereka yang lebih tua. Lebih menyedihkan, ramai yang kehilangan tempat bergantung dan punca pencarian.

Keadaan yang buruk ini telah mengakibatkan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 diperketatkan dengan memperkenalkan polisi baharu yang hanya membenarkan sektor-sektor tertentu beroperasi dengan kapasiti minimum.

Prof Madya Dr. Mohd Dzulkhairi Mohd Rani

Sekolah dan institusi pengajian tinggi juga terpaksa ditutup. Jumlah kes harian menggerunkan sehingga hampir mencecah 10,000 kes sehari dengan kematian lebih 100 sehari. Ini semua tidak berlaku sebelum sambutan Aidilfitri yang lalu.

Perbuatan melanggar SOP; seperti kurang membasuh tangan, tidak memakai pelitup muka, tidak mengamalkan penjarakan fizikal, bersentuhan, berkumpul beramai-ramai atau bersembang lama di tempat tertutup dan perbuatan tidak mematuhi peraturan serta undang-undang yang dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan, samada dengan sengaja atau tidak sengaja, atas apa jua alasan sekalipun; amatlah ditegah.

Hal ini kerana boleh menjadi penyebab kepada penyebaran dan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19.

Begitu jua dengan usaha kita dalam memelihara SOP; kita kerap membasuh tangan, tidak berkunjung atau berziarah sanak saudara yang tinggal berasingan, menjauhi tempat sesak serta mematuhi saranan kerajaan untuk tidak merentas daerah atau negeri.

Selain itu, tindakan mendapatkan vaksin untuk perlindungan untuk diri dan keluarga adalah tindakan yang bukan sahaja dituntut malah patut dilakukan oleh semua untuk mencapai imuniti kelompok.

Perlakuan ini semua boleh membantu menghentikan penyebaran jangkitan COVID-19 dan seterusnya menurunkan kadar kes harian.

Tindakan yang mungkin nampak kecil pada mulanya yang melibatkan hanya seorang pelaku di dalam komuniti boleh menyebabkan impak yang besar kepada negara. Bayangkan sekiranya ada lebih banyak individu yang melakukan perbuatan yang dianggap kecil oleh mereka.

Alangkah besarnya magnitud kemusnahan akibat perlakuan kecil yang menjadi penyebab malapetaka, ibarat tindakan tidak berdosa si rama-rama tadi. Kita tidak tahu tindakan yang mana boleh mengakibatkan kesan rama-rama yang membawa kebaikan ataupun membawa musibah.

Sebagai khalifah di muka bumi, manusia bertanggungjawab untuk memelihara jiwa dan kehidupan. Perkataan ‘Khalifah’ diambil daripada perkataan Arab, ‘Khalafa’ yang bermaksud ganti.

Maka, kita telah dipilih oleh pencipta sebagai pengganti-Nya untuk mentadbir dan memakmurkan muka bumi. Tanggungjawab ini adalah satu amanah; daripada sekecil-kecil sehingga sebesar-besar tindakan yang akan dipertanggungjawabkan di dunia dan di akhirat kelak.

“Dan tidakkah engkau (Muhammad) berada dalam suatu urusan, dan tidak membaca suatu ayat Al-Quran serta tidak pula kamu melakukan suatu pekerjaan, melainkan Kami menjadi saksi atasmu ketika kamu melakukannya. Tidak lengah sedikit pun dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarah, baik di bumi ataupun di langit. Tidak ada sesuatu yang lebih kecil dan yang lebih besar daripada itu, melainkan semua tercatat dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuzh).’ 

(10:61)

Pada masa pandemik ini, kita patut memikirkan sama ada usaha kita sudah mencukupi untuk menangani jangkitan ini. Kita harus memikirkan bagaimana kita boleh membantu kerajaan, masyarakat dan individu yang terkesan dengan pandemik ini.

Dr Zahrah Tawil

Cetusan persoalan ini mungkin boleh membawa kita lebih jauh dan menjadi faktor kepada kesan rama-rama yang membawa kepada kemakmuran yang besar.

Kesimpulannya, kerjasama semua lapisan masyarakat amatlah penting pada masa pandemik ini. Kalau kita sandarkan kepada teori kesan rama-rama, kita akan faham bahawa melakukan perkara yang betul pada masa yang sesuai akan mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

‘Sesunguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubahnya sendiri’

(13:11)

PROF MADYA DR MOHD DZULKHAIRI MOHD RANI
Pakar Perubatan Kesihatan Awam
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia

DR ZAHRAH TAWIL
Pengamal Perubatan
Kuala Lumpur. – HARAKAHDAILY 4/6/2021

- Advertisement -