Tidak setuju atas nama haram arak, sanggup hina PAS

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi terkilan dengan segelintir pihak yang sanggup mengenepikan kematangan berfikir dan menghentam lawan secara tidak beretika dalam berpolitik.

Menurutnya, ramai pihak yang berani bergelanggang di dalam padang politik, tetapi tidak tahu kaedah bergelanggan yang betul.

“Bergelanggang janganlah sampai bermain selut sehingga tidak menyedari hilang kaki di bola akibat mata diselaputi kotor.

“Semangat untuk meraih sokongan undi bukan di fasa pilihan raya sangat membimbangkan kerana ada pihak yang sanggup hilang rasa simpati hanya untuk menjatuhkan maruah lawan.

“Istilah ‘main belakang’ yang dikaitkan dengan Anwar Ibrahim dan Azmin Ali, ‘walaun’ dikaitkan dengan penyokong PAS, ‘Phancing’ dikaitkan dengan penyokong PH, ‘Khadum’ dikaitkan dengan penyokong DAP, kerajaan pintu belakang, syaitan dan seumpamanya menjadi mainan tulisan ramai orang untuk menjatuhkan maruah parti lawan.

- Advertisement -

“Lagi parah apabila ada yang sanggup mengkritik dan menolak pandangan Tuan Guru-Tuan Guru yang berautoriti kerana tidak bersefahaman.

“Terkini, ketika ada yang ingin menyatakan bahawa ketidaksetujuan atas nama keharaman minuman keras, mereka sanggup menghina PAS dengan menggabungkan gambar perempuan iklan berbaju hijau putih dengan warna baju pimpinan PAS juga berwarna hijau putih.

“Lebih terkilan apabila kesanggupan mereka untuk terus menanam kebencian masyarakat terhadap PAS sehingga sanggup melaungkan ‘take beer‘ untuk mempermainkan istilah ‘takbir’ yang dilaungkan oleh PAS,” ujarnya dalam satu hantaran Facebook, hari ini.

Menurut beliau, sekiranya pihak lawan ingin menjatuhkan adalah melalui kaedah demokrasi, mereka perlu berterima kasih kepada PAS kerana turut serta menentang isu pengoperasian semula kilang arak.

Bahkan rakyat tentunya lebih menghormati parti yang tidak hipokrit, boleh menerima kebaikan parti lawan berbanding parti yang melazimkan kritikan bersifat fitnah dan mencaci maki.

Berbeza dengan politik madu yang membuatkan rakyat lebih peka terhadap isu sekeliling dan memberi pandangan bernas kepada kerajaan, katanya.

Jelasnya, ada juga pihak yang menggunakan tiket ‘Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai’ untuk menghalalkan cacian dan kritikan kepada pihak lawan.

“Kritikan dan cacian dianggap perjuangan yang betul, sebaliknya bercakap benar dianggap perjuangan yang salah dan lemah.

“Banyak ayat al-Quran dan Hadith berbincang tentang isu pemfitnah, tetapi ia tidak diambil peduli oleh sebahagian orang kerana ahli politik berlatar belakangkan agama sendiri tidak menghormati sesama ahli agama hanya semata-mata berbeza pandangan politik dunia yang sementara.

“Mereka sanggup hina pimpinan berlatar belakangkan agama dengan cacian yang menghinakan sehingga terlupa pengikut mereka sedang memerhati gelagat pimpinan mereka yang menghina ulamak.

“Kesannya, method itu telah terbawa dalam pemikiran pengikut mereka yang menghalalkan cacian kepada pihak lawan walaupun dikategorikan ulamak.

“Tidak kurang juga yang hilang kepercayaan kepada ulamak sehingga agama ditafsir mengikut kemahuan sendiri.

“Atas sebab itu kini bukan setakat menghina ulamak, bahkan pengikut mereka menghalalkan istilah membesarkan Allah (takbir) untuk menjadi mainan politik mereka.

“Takbir dikatakan ‘Take Beer’. Calsberg disebut ‘PASberg’. Gambar-gambar yang dilampirkan ada yang dipost tahun 2020 dan diviralkan semula untuk kepuasan nafsu politik.

“Kerana politik yang sementara, sanggup mengekalkan dosa abadi di akhirat. Sangat mendukacitakan,” ujarnya lagi.

Beliau turut berkongsi memori ketika bekas Mufti Perak, Almarhum Tan Sri Dato’ Seri Dr. Harussani Zakaria dihina kerana semata-mata menyatakan bahawa pihak yang melawan kerajaan disebut sebagai ‘bughah’ iaitu penderhaka kepada pemerintah negara.

Menurutnya, Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty ketika itu mengulas panjang membantah kenyataan Tan Sri dengan menyatakan hujah Tan Sri tidak sesuai dan tidak boleh dipakai kerana bersifat peribadi.

Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa apa pun yang cuba disampaikan oleh ilmuwan Islam usah ditolak mentah-mentah, sebaliknya patut diambil pengajaran dan lebih bersifat terbuka.

“Ada sebab kenapa Almarhum Tan Sri sanggup mengeluarkan statement begitu kerana kestabilan politik perlu diutamakan.

“Ia penting supaya tidak berlaku seperti apa yang berlaku pada hari ini iaitu ketidakmampuan para intelektual Islam untuk mengawal masyarakat daripada menyebarkan fitnah dan berita palsu kerana dari awal lagi method mengkritik ulama dilazimi pihak-pihak tertentu,” kongsi beliau. – HARAKAHDAILY 3/6/2021

- Advertisement -