Salur bantuan melalui Penghulu, JPKK – PAS Perak

- Advertisement -

PAS Perak menyambut baik usaha Kerajaan Negeri bagi menghadapi ‘total lockdown’ akibat COVID-19 melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Perak 2021. Melalui pakej yang disediakan oleh pihak kerajaan, ia jelas membuktikan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Negeri Perak sangat peka dengan isu-isu melibatkan golongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan ‘total lockdown’ seperti yang diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 yang semakin tinggi dan membimbangkan.

Selain itu, PAS Perak juga mengharapkan agar sumbangan-sumbangan yang disalurkan kepada daerah-daerah perlu disalurkan terus kepada Pejabat Penghulu dan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang ada.

- Advertisement -

Sumbangan itu juga tidak perlu melalui saluran parti politik kerana dibimbangi akan berlaku ketidakadilan dalam pengagihan sumbangan yang bakal menimbulkan ketidakharmonian rakyat di Negeri Perak.

PAS Perak turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah atas usaha yang murni dilakukan oleh pihak kerajaan yang serius dan komited dalam memperjuangkan kebajikan rakyat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dahulu.

PAS Perak juga menyokong penuh atas usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh YAB Menteri Besar dan semua EXCO Kerajaan Negeri dengan pemotongan gaji selama tiga bulan ke dalam Tabung Bencana COVID-19.

Justeru, ini adalah sebagai tanda simpati kita semua terhadap keperitan dan kesusahan ditanggung oleh rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19. Untuk makluman semua, PAS Pusat, PAS Negeri dan PAS Kawasan juga sudah melancarkan Tabung Bantuan COVID-19 baru-baru ini.

Usaha tersebut adalah bertepatan dengan konsep negara berkebajikan yang menjadi hala tuju perjuangan PAS iaitu semua pihak termasuklah kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh rakyat turut berperanan dalam pembangunan negara serta pelaksanaan kerja-kerja kebajikan.

Inilah aspirasi dan perjuangan PAS sedari dahulu sehinggalah sekarang dan ia tidak pernah sama sekali berubah. Perkara yang lebih utama ialah kebajikan rakyat dan negara terjamin serta terpelihara di bawah tampuk kepimpinan kerajaan yang adil, prihatin dan berintegriti.

USTAZ MISBAHUL MUNIR MASDUKI
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Perak – HARAKAHDAILY 3/6/2021

- Advertisement -