Politik kotor

- Advertisement -

POLITIK, banyak definisi dan ungkapan yang diberikan oleh cendekiawan. Paling diingati ialah Niccolò Machiavelli yang begitu terkenal dengan ungkapan matlamat menghalalkan cara. Ramai pengamal-pengamal ungkapan ini. Mereka secara terang mengambil apa jua hal yang menguntungkan mereka, walaupun rakyat menjadi mangsa. Keenakan memegang jawatan ini, telah menghanyutkan mereka, jauh ke lautan politik yang kotor itu.

Rupanya apa yang dikatakan beliau itu amat benarnya. Betapa dunia melihat sejarah, hanya beberapa orang ketua negara sahaja yang begitu komited bagi menyediakan keselesaan kepada rakyat mereka. Tentu sahajalah Rasulullah S.A.W adalah contoh terutama jika mahu diberikan misalannya serta khalifah ar-Rasyidin dan beberapa nama lagi. Manakala yang lain, kemahuan mereka mengatasi tanggungjawab mereka.

- Advertisement -

Kalahnya sesuatu kuasa itu kerana mereka lupa kepada tanggungjawab mereka. Rakyat dibiarkan lapar yang akhirnya ada yang berpaling tadah membantu musuh atau mereka sekalian bergabung, meruntuhkan kerajaan mereka itu. Lihat sahaja Arab Spring. Ia terjadi kerana perut rakyatnya yang lapar itu tidak diisi. Lebih parah, kuasa luar juga datang membantu, memudahkan lagi kerja mereka.

Akibat daripada terlalu banyak kerajaan yang gagal menjalankan kewajipan mereka terhadap rakyat, maka, politik dilihat sebagai kotor, sebagai salah satu cara manusia memenuhi tembolok mereka sahaja, mengkayakan diri dan keluarga. Namun harapan kepada sebuah kerajaan yang adil, tidak pernah pudar. Akan datang pula kumpulan yang mengaku akan bersikap adil bagi membela nasib rakyat, dan kemudiannya apabila berkuasa, mereka juga sama dengan kerajaan yang mereka jatuhkan itu.

Kekotoran politik ini, bukan menjadi sebab kepada kita untuk meninggalkan politik ini. Ia sama sebagaimana perkahwinan. Cerai berai, keganasan rumah tangga, kegagalan mendidik anak-anak, merempat tiada rumah, sumbang mahram, semua itu berlaku di hadapan kita. Tetapi adakah kita mengisytiharkan perkahwinan itu kotor? Tidak sekali-kali kerana kebejatan ini berlaku kerana sikap pengamalnya, bukan sistem rumah tangga itu sendiri.

Musuh amat gembira jika rakyat sudah muak dengan politik, kerana memudahkan mereka merampas negara ini. Berbagai cara mereka mahu membuatkan rakyat menjadi bosan dengan politik. Cara yang terkenal ialah dengan menyokong pembangkang. Apa sahaja yang dibuat kerajaan mereka akan membangkang. Termasuklah segala perkara yang baik. Keserabutan ini akhirnya mengurangkan sokongan rakyat kepada kerajaan, dan inilah yang mereka sasarkan. Kenanglah cara British memperbodohkan kita, menjauhkan kita dari politik.

Sehingga sekarang, ada gerakan yang kononnya mahukan rakyat menjadi kerajaan. Konon kerajaan gagal, tetapi rakyat tidak. Bagaimana mereka mahu menjadi kerajaan tanpa organisasi yang jelas. Berkerja bersama-sama di media sosial sememangnya mudah, tetapi apabila kerajaan jatuh, mereka pula yang akan berebut. Pemikiran ini sangat jelas, hanya mahu menjadi pengacau kepada kestabilan politik negara. Mereka tidak sedar, mereka didalangi oleh kumpulan yang merancang bagi merampas kekuasaan.

Ia lebih sesuai dengan perlawanan politik secara berdepan dengan gabungan politik yang lain. Ia sah menurut undang-undang dan kita tahu apa tawaran mereka. Membuat kempen politik kotor, hanyalah sebahagian daripada cara mereka mahukan rakyat menjauhkan politik. Jika politik kotor, nanti rakyat akan tinggalkan politik dan kerajaan mungkin jatuh. Kemudian kuasa negara, mahu tidak mahu, mesti dipegang bagi mentadbir. Siapa yang akan pegang? Pastinya orang yang jahat, kerana orang yang baik, tidak mahu lagi memegang benda kotor.

Maka bermulalah episod duka kepada rakyat. Mereka akan menjadi lebih ganas dan agresif kerana mahu mempertahankan kuasa mereka. Duduklah kita di bawah kuasa jahat. Ingat, ketua yang jahat adakah kerana rakyat yang jahat. Jangan diangan untuk duduk di bawah kerajaan Rasulullah jika kita sendiri kucar kacir. Atau jika kita hidup di zaman itu, mungkin kita menjadi lawan Rasulullah, kerana jahatnya kita. Nauzubillah.

Tidak percaya? Lihatlah bagaimana sikap syukur kita dengan apa yang diberikan sebagai bantuan kepada rakyat. Mulut kita penuh dengan kritikan, bagaikan rezeki Allah itu tidak cukup dan amat sial pada pandangan mata kita. Tidak terhenti setakat itu, dihasutnya pula orang lain, agar sama-sama tidak bersyukur. Ini terjadi ketika wabak sedang berlangsung. Tiada langsung rasa ketundukan kepada Allah. Inilah dia sebenarnya ciri-ciri politik kotor atau politik celaka yang dimainkan golongan jahil.

Politik sebeginilah yang mesti kita jauhi. Sedaya upaya dan sekuat tenaga yang ada, kita laksanakan Islam dalam politik, bukan meninggalkannya atau menjadikannya semakin parah, semakin jijik dengan kekotoran yang sebenarnya dibawa oleh mereka. Kitalah yang mesti menjadi pembersih kepada kekotoran politik itu. Bukan kita yang mengikut jejak langkah politikus kafir atau jahil yang tiada landasan agamanya. Pada titik inilah yang membezakan politik Islam yang suci, dengan politik kotor dari buah fikiran kafir.

Terima kasih kepada barisan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Terengganu atas kesungguhan mencari jalan menghulurkan bantuan kepada rakyat. Ya, ia duit rakyat, tetapi pengurusannya mesti di bawah kerajaan. Atau adakah mereka mahu menguruskan sendiri duit rakyat ini kerana dakwa mereka menjadi kerajaan rakyat? Akan hancurlah kerajaan. Kerajaan tidak gagal, yang gagal ialah rakyat yang tidak mahu bersyukur, gagal menuruti arahan kerajaan dan sentiasa membangkang, tanpa alasan agama.

MOHD NASIR ABDULLAH
3 Jun 2021 – HARAKAHDAILY 3/6/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -