Pentingnya rangkaian sokongan dalaman akar umbi

- Advertisement -

SAYA banyak berurusan dengan peneroka bandar di Selangor ketika saya merupakan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar Negeri Selangor dari 2008 hingga 2018. Satu perkara yang unik mengenai masyarakat peneroka bandar adalah semangat kerjasama dan tolong menolong di kalangan mereka. Sikap mengambil berat dan keprihatinan mereka sungguh menyerlah. Ada satu kes di mana seorang warga emas tinggal seorang diri dan saya hairan bagaimana beliau dapat meneruskan kehidupan. Beliau agak berumur dan mustahil beliau boleh menguruskan diri. Tetapi saya diberitahu jiran-jiran selalu menghantar makanan dan membantu. 

Saya melihat seolah-olah terdapat satu sistem sokongan diwujudkan oleh penduduk di penempatan peneroka tersebut. Saya dapati bukan sahaja di dalam kes ini sahaja penduduk akan membantu sesama mereka. Justeru itu tidak ada penduduk yang akan kelaparan atau terlantar dan akhirnya meninggal dunia bersendirian. Mungkin ini adalah di antara sebab kenapa para peneroka bandar agak keberatan untuk berpindah walaupun ditawarkan rumah kos rendah.

- Advertisement -

Semangat sedemikian adalah amat diperlukan ketika pandemik COVID-19 mencengkam. Ramai yang berhadapan dengan masalah kewangan sama ada kerana telah dibuang kerja, gaji dipotong atau tidak dapat berniaga seperti biasa. Walaupun terdapat pelbagai bantuan dari kerajaan namun perlu ada bantuan-bantuan yang segera. Semua orang perlu makan setiap hari. Mereka sudah tentu tidak boleh berlapar sehingga bantuan dari kerajaan tiba.

Dengan ‘Total Lockdown’ yang akan dikuatkuasakan dari 1 Jun hingga 14 Jun ini, golongan yang paling terkesan di dalam masyarakat tidak boleh dibiarkan terpinggir. Badan-badan dan NGO-NGO yang mewakili penduduk perlu memiliki sikap keprihatinan yang tinggi seperti masyarakat peneroka bandar itu. Mereka mesti mengenalpasti golongan tersebut agar kehidupan mereka tidak terjejas akibat ‘lockdown’. Mungkin masalahnya bukan kewangan semata-mata tetapi mereka tidak berupaya untuk keluar membeli makanan atau mendapatkan ubat seperti warga emas atau OKU. Dengan ‘lockdown’ mereka mungkin terputus dari anak-anak, saudara mara atau kawan-kawan rapat yang sering membantu mereka. Jangan sampai mereka keputusan bekalan makanan dan terpaksa berlapar atau kehabisan ubat sehingga menjejaskan kesihatan mereka.

Justeru itu Jawatankuasa Masjid, Jawatankuasa Surau, persatuan penduduk, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), JKKK, Perbadanan Pengurusan ( MC ), Badan Pengurusan Bersama ( JMB ) dan badan-badan serta NGO-NGO yang lain perlu memainkan peranan yang proaktif di dalam kariah, kawasan, blok atau lorong mereka. Mereka mesti mengenali penghuni setiap rumah dan mengetahui status mereka. Perlu ada satu kaedah di mana sebarang masalah atau kecemasan dapat ketahui awal agar bantuan dapat dihulur atau tindakan dapat segera dapat diambil.

Justeru itu peranan jiran-jiran adalah amat penting. Jiran-jiran perlu memiliki sikap prihatin dan mengambil berat. Mereka perlu sentiasa bertanya khabar. Mereka tidak seharusnya mementingkan diri sahaja. Sudah tentu ramai dari kita pernah mendengar Hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Tidaklah disebut mukmin orang yang kenyang sedangkan jiran di sampingnya kelaparan.”

(Riwayat Bukhari, Hakim dan Al-Khatib) 

Jika setiap dari kita mempunyai sikap prihatin sedemikian maka akan wujud sistem sokongan dalaman bagi setiap kejiranan. Tidak ada sesiapa yang akan terabai.

Walaupun kerjasama perlu dijalin bersama jabatan dan agensi kerajaan yang bertanggungjawab tetapi inisiatif yang digerakkan di peringkat akar umbi adalah lebih penting dan berterusan. Baru-baru ini kita dapat melihat betapa prihatin dan pemurah rakyat Malaysia apabila menghulurkan sumbangan berjuta-juta ringgit kepada rakyat Palestin yang berhadapan dengan serangan Zionis laknatullah. Saya yakin ketika ‘lockdown’ dan sepanjang pandemik COVID-19, rakyat juga memiliki keprihatinan yang sama. Setiap taman, kampung, blok malah lorong boleh membuat pungutan dana atau barang makanan asas untuk diedarkan kepada mereka yang memerlukan. Jika bukan untuk kawasan mereka ia boleh diagihkan kepada kawasan-kawasan yang memerlukan.

Baru-baru ini saya ada menerima aduan dari seorang individu yang menunggu arahan untuk membuat pungutan dana untuk mereka yang terkesan dengan pandemik ini. Sebenarnya tidak ada masalah untuk beliau dan rakan-rakan yang prihatin mengumpul dana atau makanan untuk diagihkan. Malah mereka yang mampu sepatutnya mewujudkan ‘food bank’ di rumah-rumah mereka. Walaupun sekampit beras, tepung, gula, minyak masa dan telur namun ia cukup membantu bagi mereka yang terdesak. Saya tahu ada sekumpulan guru-guru yang mengumpul duit sesama mereka untuk membeli barang-barang keperluan bagi disumbangkan kepada pelajar-pelajar mereka yang memerlukan. Ibu bapa pelajar perlu hanya menghantar mesej untuk mendapatkannya.

Pandemik ini dapat menyerlahkan sikap sebenar rakyat Malaysia. Saya tidak mahu membincangkan sikap-sikap buruk kerana saya melihat terdapat kebaikan pada semua individu. Sifat pemurah dan semangat bekerjasama rakyat Malaysia begitu terserlah. Mereka yang membuat pungutan dana sudah tentu dapat merasakannya. Walau bagaimanapun istilah ‘susah’ bagi setiap dari kita adalah berbeza. Mungkin untuk korporat-korporat besar keuntungan hanya 2 atau 3 bilion ringgit setahun adalah ‘susah’. Tetapi satu keluarga penjual goreng pisang yang terpaksa makan sekali sehari ketika pandemik kerana mahu membayar hutang rumah masih boleh bersyukur. Untuk menilai kemakmuran sesuatu negara jangan kita melihat akan kekayaan dan kemewahan mereka yang kaya raya. Tetapi kita perlu melihat bagaimana kehidupan mereka yang berada pada piramid ekonomi yang paling bawah.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Memajukan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 3/6/2021

- Advertisement -