Khairuddin arah agensi beri kerjasama kepada PDRM, SPRM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan LGM Properties Corporation (LGMPC) telah membuat laporan polis berhubung fitnah yang tular sehingga menjejaskan nama baik Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan reputasi agens-agensi di bawah kementeriannya.

- Advertisement -

Menurut Khairuddin, susulan daripada fitnah yang mendakwa berlakunya salah guna kuasa, salah urus tadbir, penyelewengan, dan rasuah di dalam kementerian agensi di bawahnya, pihaknya telah mengarahkan barisan peguam mengeluarkan notis tuntutan guaman kepada pihak terbabit.

“Saya mengarahkan LGM dan LGPMC dan pihak Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) agar mengalu-alukan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa iaitu Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan sewajarnya,” katanya pada satu kenyataan media, semalam.

Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata, arahan tersebut selaras dengan nilai integriti dan ketelusan yang selalu ditekankan oleh beliau kepada semua pegawai di kementerian dan agensi di bawahnya.

Pada 29 Mei lepas, Facebook Sedar Malaysia dan laman sesawang negaramerdeka.com dilaporkan memuatkan artikel menuduh berlakunya pelbagai aktiviti mengaitkan integriti kementerian berkenaan dan agensinya.

Tuduhan dan fitnah tersebut juga telah tersebar secara meluas melalui perkongsian orang ramai di media sosial, laman sesawang dan jaringan komunikasi.

LGMPC memandang serius pernyataan fitnah tersebut dan secara spesifik menafikan setiap pernyataan fitnah yang terkandung di dalam artikelnya. – HARAKAHDAILY 3/6/2021

- Advertisement -