Isu ideologi yang tidak dipandang

- Advertisement -

ISUNYA bukan hanya adab

Kita perlu sedar bahawa hari ini kita sedang dihurung dengan isu ideologi yang kritikal. Apa yang dilontarkan mengenai istilah ‘take beer’, kemudian penghinaan secara terbuka terhadap institusi istana dan sebagainya bukanlah boleh diurus hanya dengan mengulas bab adab.

Sebaliknya ia perlu diurus dengan kefahaman terhadap ideologi-ideologi. Ini kerana boleh jadi ideologi-ideologi ini meresap ke dalam gerakan Islam. Sekalipun berkopiah, tetapi boleh jadi diresapi dengan ideologi Barat sekiranya tidak mahir mengenai selok-belok ideologi Barat itu.

Imam al Ghazali ada menyatakan di dalam المنقذ من الضلال  mengenai bagaimana ilmuan pada zamannya sukar berhadapan dengan serangan pemikiran. Antaranya disebabkan tidak memahami betul-betul mengenai ideologi.

- Advertisement -

Kita perlu muhasabah. Kita kerap kali tidak mengambil peduli, atau tidak serius untuk mengetengahkan isu ideologi. Sedangkan musuh di luar sana sedang fokus kepada serangan ideologi ini. Kita pula lebih suka membincangkan isu Allah di atas Arasy, isu bilangan rakaat dalam terawih dan sebagainya.

Usrah perlu dijadikan medan mencambah pemikiran, antaranya dengan membincangkan isu-isu pemikiran (ideologi). Tetapi kalau dalam usrah pun masih tidak terlepas dari kongkongan khilafiah, bagaimanakah kita boleh bersedia dengan serangan ideologi Barat?

Liberalisme

Serangan ideologi yang sedang membarah pada hari ini ialah Liberalisme. Liberalisme menghimpunkan segala macam ideologi, untuk meliberalkan orang-orang Islam daripada prinsip Islamnya. Contohnya:

1. Untuk menyerang akidah Muslim, Liberalisme menggunakan Atheism. Mereputkan kepercayaan seorang Muslim terhadap alam ghaib, rasa bertuhan dan sebagainya. 

2. Untuk menyerang undang-undang dan sistem Islam, Liberalisme menggunakan Sekularisme. Memisahkan kefahaman seorang Muslim terhadap politik, dan sistem Islam. Melahirkan Muslim yang bersifat politikus.

3.Untuk menyerang sistem ekonomi Islam, mereka menanam dasar-dasar Kapitalisme. Menjadikan seorang Muslim itu terbiasa dengan Kapitalisme, dan merasa janggal dengan ekonomi Islam.

4. Untuk menyerang generasi muda Islam, mereka menayangkan Hedonisme. Menjadikan anak muda Islam terikut-ikut dengan keseronokan dan enjoy, berbanding kesedaran untuk melakukan gerak kerja Islam.

Dulu dan kini

Jika kita meneliti sejarah kejatuhan Uthmaniah sendiri, kita akan dapati unsur Liberalisme sangat berguna untuk melahirkan generasi anak muda Islam yang menolak sistem pemerintahan Islam. Mereka dikenali sebagai Young Turks.

Bahkan, jika kita meneliti sejarah pada 1983 khususnya, kita akan dapati bagaimana Amerika sebagai bapa Liberalisme sangat ghairah untuk memasarkan pemikiran itu. Liberalisme ketika itu terarah untuk menjatuhkan Soviet yang bersistemkan autokrasi.

Hari ini, mereka konsisten untuk memasarkan Liberalisme. Mereka sangat yakin itulah jalan yang terbaik untuk menguasai negara-negara yang dikatakan bersifat Monarki, Totalitarian, dan juga negara-negara yang masih mengekalkan sistem Raja.

Anak-anak muda tepi jalan dibuka ruang dan peluang untuk bebas (Liberal) bersuara mengutuk sesiapa, dibuka peluang untuk mengulas bab hukum-hakam, dan sebagainya. Maka, tersebarlah fahaman-fahaman yang salah terhadap Islam itu sendiri.

Bagaimanakah penyelesaian?

Penyelesaian untuk hari ini, gerakan-gerakan Islam perlu membicarakan mengenai ideologi dan memahami asas-asasnya. Ahli gerakan Islam perlu dididik dengan berfikir. Fikir cara yang betul. Bukannya disuruh telan bulat-bulat.

Istilah seperti wala’ dan taat perlu dihurai dengan dalil, bukan digoreng dengan bertaklid buta. Perjuangan Islam itu perlu difahami secara jelas dan terang, bukannya dengan mata yang tertutup atau melalui jalan yang gelap.

Allah S.W.T berfirman:

قُلْ هَٰذِهِ سَبِيلِي أَدْعُو إِلَى اللَّهِ ۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ 

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata…”

(Yusuf: 108)

MUHAMMAD MUJAHID BIN IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 3/6/2021

- Advertisement -