Arak: PAS dan Mohamed Salah

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH. Kekalutan isu operasi kilang arak agak reda. PAS secara konsisten menentang apa sahaja operasi yang bertentangan syarak. Bukan baru. Sejak dulu. Cuma cara di dalam kerajaan dan di luar kerajaan jalannya berbeza. Antara yang boleh beri cadangan dalam mesyuarat dan yang menjerit di luar bangunan. Kedua-duanya perlu. Namun jangan disangka tiada perbincangan jika kita tidak mendengar bunyi dari dalam bilik.
Sebagai contoh terkini , isu operasi kilang Carlsberg. Kenyataan bantahan telah dibuat oleh PAS. Bukan hanya melalui sayap Ulamak dan Pemuda malah Penerangan PAS Pusat sendiri telah mengeluarkan bantahan. Ia juga dibincang di peringkat tertinggi PAS di meja Kabinet. Ia saluran yang ada.

- Advertisement -

Betul. PAS masih minoriti dalam Kabinet. Namun tetap ada suara. Tanggungjawab PAS membawa suara itu. Jika gagal. PAS telah berjaya melunaskan tanggungjawab pengundi dan penyokong mereka. PAS tahu dan sedar betapa tinggi harapan masyarakat kepada PAS membawa suara Islam. Mereka yang tidak mengundi malah memusuhi PAS juga menyalahkan PAS atas isu Islam. Begitulah kepercayaan kepada PAS sebagai pembawa obor Islam dalam negara Malaysia. 

Saya tersenyum sendiri membaca kemarahan sesetengah bekas pemimpin dalam isu arak ini. Semua tahu apa yang mereka buat semasa berkuasa. Malah sebahagian pimpinan PH menjadi bisu apabila ‘abang besar’ mereka bersuara. Sejarah tidak pernah padam. Siapa yang membiarkan segala kerosakan ini berlaku? PAS ibarat seseorang yang membawa parang masuk dalam kebun yang sudah lebih 60 tahun dibiarkan. Belum dikira 22 bulan dibaja segala semak-samun dan duri itu lagi.

Ada yang berhujah, kalau dah tak boleh bawa Islam, tunggu buat apa? Suara provokasi jahil ini biasanya lahir dari semangat golongan pra matang. Kerajaan PN ini ditubuhkan untuk menghalang kemudaratan besar PH dan sekutunya. Walau hanya ada parang di dalam kebun semak seperti hutan, sekurang-kurangnya PAS mampu menghalau orang yang ingin menyiram baja untuk pokok hutan berduri itu. Cukup untuk bertahan agar tidak bertambah parah.

Melihat kepada kejayaan dan peranan PAS dalam kementerian yang diterajuinya, serta kejayaan PAS bersuara agar operasi arak dihentikan, saya yakin rakyat akan menyokong untuk PAS diberi lebih kuasa untuk berperanan sebagai kerajaan. Perkara inilah yang dibimbangi musuh PAS.

Jangan marah jika PAS jadi sasaran setiap kali isu umat Islam malah pencerobohan jet China pun PAS yang dimarah. Bagi saya, itu harapan tinggi rakyat serta kepercayaan mereka bahawa hanya PAS boleh dan mahu berperanan. Ia sesuatu yang baik namun perlu diterjemahkan dalam kertas undi untuk menilai kemampuan sebenar PAS jika berkuasa.

Siapa sangka kehebatan Mohamed Salah (Liverpool) dalam bola sepak terserlah dalam Liga Eropah walaupun berasal dari Mesir yang bukan gergasi bola sepak. Berilah peluang kepada PAS sebagaimana liga Eropah akhirnya mengkagumi Salah. Tak keterlaluan kan perbandingan itu. 

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 3/6/2021

- Advertisement -