Tabung Covid: MB, Exco Terengganu sumbang sebulan gaji

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Berikutan penguatkuasaan total lockdown yang mungkin berlanjutan, Kerajaan Terengganu akan membuat potongan sebulan gaji Menteri Besar dan anggota Exco Kerajaan Negeri.

Wang tersebut akan dimasukkan ke dalam Tabung Covid-19 Terengganu. Selain itu penjawat awam juga turut bersama menyumbang melalui potongan elaun mereka.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha kerajaan negeri itu sebagai nilai tambah untuk mengurangkan impak sosio-ekonomi rakyat yang terkesan ketika ini.

- Advertisement -

Katanya juga kerajaan negeri akan melancarkan program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu 3.0 (BERKAT 3.0) secara bersasar yang berjumlah RM200,000 bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ia melibatkan jumlah keseluruhan RM6.4 juta yang akan diagihkan dalam dua fasa.

“Kerajaan negeri juga bersetuju memberi penangguhan sewaan premis perniagaan milik kerajaan negeri, Badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk bulan Jun dan Julai 2021.

“Ianya tertakluk kepada premis perniagaan yang terkesan akibat penutupan ekonomi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0, dan premis-premis dengan kadar sewa tidak melebihi kadar sewaan RM5,000 sebulan kecuali sewaan tapak menara telekomunikasi,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau juga peminjam Yayasan Terengganu yang berpendapatan bawah RM2,500 juga diberi pilihan untuk memohon moratorium selama tiga bulan.

“Saya juga menyeru agar semua rakyat Terengganu bersatu hati dalam tempoh yang kritikal ini, kerana setiap langkah dan pematuhan arahan dan SOP amatlah signifikan untuk mengatasi pandemik Covid-19 yang semakin serius.

“Pastikan anda mendaftar vaksin dalam Program Imunisasi Negara. Jangan lupa jadikan doa dan munajat dalam rutin kita setiap hari. Sayangi nyawa keluarga anda dan hargailah petugas barisan hadapan yang masih belum berhenti berjuang sejak lebih setahun lalu,” ujarnya

Menurutnya juga kerajaan Terengganu menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berhubung Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).

Kata beliau program itu amat dinantikan rakyat Malaysia termasuk rakyat Terengganu untuk mengurangkan beban golongan yang terjejas akibat penutupan beberapa sektor semasa total lockdown yang bermula semalam. – HARAKAHDAILY 2/6/2021

- Advertisement -