Perlis peruntuk RM1.5 juta bantu penduduk terjejas

- Advertisement -

KANGAR: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) Fasa Pertama yang diumumkan kerajaan bermula semalam hingga 14 Jun ini memberi kesan kepada golongan penduduk miskin.

Paling terkesan golongan penjaja, peniaga kecil, buruh yang mendapat upah harian dan pekerja sektor perkhidmatan serta pelancongan.

- Advertisement -

Mengambil kira suasana itu kerajaan Perlis memperuntukkan RM1.5 juta bagi menyediakan keperluan asas kepada keluarga yang berkelayakan di negeri itu sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 3.0.

Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Azlan Man, bantuan keperluan asas harian bernilai RM50 akan diagihkan setiap tiga hari sekali sepanjang tempoh tersebut diadakan kepada golongan sasar.

Ujarnya pengagihan bantuan akan diurus Pusat Khidmat Wakil Rakyat atau Pusat Khidmat Menteri Besar bagi setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau mekanisme bersesuaian di setiap DUN.

“Kerajaan Persekutuan mengumumkan pelaksanaan PKP 3.0 fasa pertama untuk tempoh dua minggu sehingga 14 Jun di mana semua sektor sosial dan ekonomi ditutup kecuali perkhidmatan perlu.

“Bagi mengelakkan kesan negatif yang mungkin timbul akibat pelaksanaan PKP dan di atas keprihatinan kerajaan negeri, kita bersetuju memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta dengan serta-merta bagi menjaga kepentingan golongan bersasar,” ujarnya pada kenyataan di sini.

Oleh itu beliau berharap bantuan segera itu dapat mengurangkan beban hidup golongan berkenaan.

“Dalam masa sama, saya menyeru rakyat di negeri agar terus kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan demi keselamatan dan kesejahteraan semua,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/6/2021

- Advertisement -