Penjelasan LGM terhadap dakwaan mantan Pengerusi LGM

- Advertisement -

LEMBAGA Getah Malaysia (LGM) ingin menarik perhatian kepada kenyataan yang dibuat oleh mantan Pengerusi LGM, YB Dato’ Ahmad Nazlan Idris (yang berkhidmat daripada 2 April 2020 hingga 14 April 2021) yang telah disiarkan di media sosial pada 31 Mei 2021. Dalam hubungan ini, LGM ingin memberi penjelasan fakta mengenai kenyataan tersebut:

- Advertisement -

i. LGM Properties Corporation (LGMPC) adalah sebuah perbadanan ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Getah Malaysia (Perbadanan) 1996 (Akta 551) untuk menguruskan hartanah dan menjana pendapatan untuk LGM. Bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan dan prestasi LGMPC, beberapa tindakan telah diambil termasuk menubuhkan tiga Jawatankuasa Khas pada peringkat Lembaga LGM sejak 28 September 2020. Peranan Jawatankuasa berkenaan adalah untuk menilai dan mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan yang bersesuaian. Pada masa yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LGMPC yang baharu telah dilantik pada 25 Januari 2021 melalui proses pemilihan dan temuduga yang teratur serta dipersetujui oleh YB Menteri. CEO LGMPC ini telah diberi mandat sepenuhnya untuk membuat penstrukturan operasi LGMPC bagi mengatasi kegagalan tadbir urus dan meningkatkan prestasi keseluruhan yang kurang memberangsangkan sebelum itu.

ii. Dalam hubungan ini, Akta 551 melalui Seksyen 14 menetapkan bahawa Lembaga hendaklah bertanggungjawab kepada YB Menteri dan YB Menteri boleh memberikan arahan yang selaras dengan Akta dan Lembaga hendaklah dengan seberapa segera yang mungkin, melaksanakan arahan sedemikian. Oleh itu, kenyataan mantan Pengerusi LGM tentang campur tangan YB Menteri dalam urusan LGM atau LGMPC adalah tidak bertepatan dengan kuasa Menteri yang termaktub di dalam akta.

iii. Proses pajakan tanah Lot 20013 (sebelum ini dikenali Lot 76) bagi tempoh 10+5 tahun telah dilaksanakan secara tender terbuka dan telus oleh LGMPC pada Oktober 2020. Lembaga Perolehan LGM membuat keputusan pada 30 November 2020, bahawa syarikat yang berjaya dalam tender tersebut adalah Al Noor Foundation dengan harga bidaan tertinggi RM0.70 sekaki yang selaras dengan kadar penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH), Kementerian Kewangan. Yayasan tersebut adalah syarikat berhad menurut jaminan yang tidak berasaskan keuntungan dengan majoriti pemegang amanahnya adalah rakyat Malaysia dan bukan milik rakyat Turki sebagaimana kenyataan mantan Pengerusi LGM.

iv. Pada 3 Disember 2020, LGM telah menghantar surat kepada YB Menteri untuk mendapatkan pertimbangan dan kelulusan akhir bagi keputusan tender tersebut. Walaubagaimanapun, YB Menteri pada 7 Januari 2021 telah mengarahkan tempoh pajakan dilanjutkan kepada 15+10 tahun dan dibuka kembali Request For Proposal (RFP) kepada syarikat-syarikat yang terbabit dengan proses tawaran sebelum ini. Namun, sehingga sekarang perkara ini masih dalam proses tindakan di peringkat LGM dan LGMPC, serta belum dimuktamadkan.

v. Oleh itu, kenyataan mantan Pengerusi LGM bahawa YB Menteri mahukan 5+10+10 tahun adalah tidak tepat. Selain itu, kenyataan bahawa hasil yang boleh diperoleh oleh LGM selepas 25 tahun melebihi RM1 bilion adalah tidak tepat.

vi. Berhubung dengan Lot 20012 (sebelum ini Lot 75), masih tiada cadangan penjualan oleh Lembaga LGM dan belum diangkat kepada Kementerian untuk pertimbangan YB Menteri. Pada masa ini, LGM masih membuat semakan berkaitan dengan JPPH dan Jabatan Warisan Negara.

LGM menegaskan bahawa proses untuk membuat keputusan adalah mengikut tatacara yang telus dan berintegriti melibatkan keputusan Lembaga Pengarah terlebih dahulu, diikuti dengan ulasan oleh Kementerian untuk diangkat sebagai pengesyoran kepada pihak YB Menteri bagi pertimbangan dan kelulusan sebelum dikembalikan kepada Lembaga Pengarah untuk tindakan.

Pihak LGM mengambil berat berhubung maklumat separa matang dan terperingkat milik Lembaga yang disebarkan serta tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya termasuk tindakan undang-undang. – HARAKAHDAILY 2/6/2021

- Advertisement -