PAS sasar RM300,000 untuk Tabung Bencana Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tabung Bencana Covid-19 adalah langkah berterusan PAS dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara selain diharap dapat membantu golongan memerlukan bersesuaian dengan situasi yang sedang dihadapi negara ketika ini.

Pengerusi Sekretariat Tabung Bencana Covid-19 PAS Pusat, Dr Rosni Adam merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan yang telah mengumumkan rangsangan ekonomi melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).

- Advertisement -

“Kami percaya, usaha kami melalui Tabung Bencana Covid tentunya mampu menjadi pelengkap kepada usaha-usaha yang dilakukan dengan dukungan dan sokongan seluruh masyarakat.

“Suasana yang didepani oleh seluruh rakyat dan mereka yang berada di barisan hadapan hari ini suatu yang amat mencabar.

“Justeru, untuk fasa pertama iaitu sehingga 10 Jun ini, kami mensasarkan sejumlah RM300,000 akan dapat dikumpulkan,” katanya dalam kenyataan media di Facebook rasmi PAS Pusat.

Beliau yang juga turut berada di dalam Majlis Pelancaran ‘Tabung Bencana Covid’ bersama Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Turut serta, Pengerusi Lajnah Kesihatan PAS Pusat, Prof. Madya Dr. Mohd Mazri Yahya, Pengerusi Khidmat Malaysia PAS Pusat, Mohd Yusni Mat Piah, Ketua-ketua Dewan Ulamak, Pemuda (DPPM), Muslimat (DMPM) dan Himpunan Pendukung PAS Malaysia (HPPM) yang bersiaran langsung di laman Facebook rasmi PAS Pusat, malam tadi.

Di samping itu, usaha dalam memacu perlaksanaan Tabung Bencana Covid turut disertai oleh gabungan entiti parti termasuklah Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan, Lajnah Kesihatan, Khidmat Malaysia dan Lajnah Penerangan.

Oleh itu, seluruh dewan dan badan perhubungan negeri merupakan pelengkap dan amat dipertanggungjawabkan dalam pelaksanaan Tabung Bencana Covid ini. – HARAKAHDAILY 2/6/2021

- Advertisement -