PAS buat Lim Goh Tong terkebil-kebil

- Advertisement -

Memoir Ustaz Shukri 2.0 – Siri 1

Sebuah prolog

DALAM masa sehari dua ini, begitu banyak isu yang berlaku dan dipersalahkan kepada PAS. Antaranya isu penambahan kejerapam cabutan judi, pesawat Israel yang memasuki ruang udara Malaysia, kebenaran untuk kilang arak beroperasi musim PKP dan lain-lain. PAS dipersalahkan seolah-oleh hal tersebut berada di bawah bidang kuasa PAS di dalam Kabinet Persekutuan. Bahkan, PAS turut dituduh menjadi pak turut dan syaitan bisu di dalam kerajaan, kerana kononnya PAS tidak berbuat apa-apa. Mereka nampaknya tidak memahami peranan dan fungsi PAS di dalam kerajaan!

Sikap segelintir pengulas politik tak berlesen ini membuatkan saya berasa perlu untuk menyegerakan sambungan Memoir Ustaz Hassan Shukri yang terhenti pada siri ke-45 tahun lepas. Saya pernah menyebut beberapa minggu lepas, bahawa Memoir Ustaz Hassan Shukri 2.0 akan muncul dalam masa terdekat ini. Kerana serangan-serangan daripada pengulas-pengulas politik tidak berlesen ini, saya akan membuka semula lembaran memoir Ustaz Hassan Shukri ini. Insya Allah, sepanjang siri ini, saya akan memberikan fokus kepada kisah-kisah ketika PAS berada di dalam BN, selaras dengan keadaan politik semasa sekarang. Mudah-mudahan ada yang mengambil ibrahnya!

Dalam bulan Jun ini, pada 14 Jun 2010, Ustaz Hassan pergi meninggalkan kita. Allahummaghfir lahu.

- Advertisement -

Dari Istanbul ke Kuala Lumpur

Dalam bulan Ogos 2002, seluruh keluarga politik PAS bertempik gembira ekoran kemenangan Parti Adalet ve Kalkinma (AKP) di dalam Pilihan Raya Umum Turki pada 14 Ogos 2002 dan Abdullah Gul dilantik sebagai Perdana Menteri Turki yang baru kemudiannya. Parti AKP tertubuh setelah Parti Fazelat pimpinan Prof Dr Necmettin Erbakan diharamkan, sedangkan Prof Erbakan menubuhkan parti baru, Parti Saadat. Kejayaan Erdogan ini mendapat perhatian meluas daripada ahli-ahli PAS.

Pada pagi Abdullah Gul mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Turki menggantikan Ahmad Necdet Sezer pada 18 November 2002, kami sedang bersembang sambil-sambil minum dengan Ustaz Hassan Shukri di Kedai Makan Anuar di sebelah parit besar, di tepi Markaz Tarbiyah PAS Pusat di Taman Melewar. Saya menimbulkan cerita kejayaan AKP ini.

“Erdogan dapat dua pertiga (daripada kerusi Parlimen Turki). Boleh ke AKP hadapi tentera Turki yang kuat sekular?” saya memulakan persoalan.

“Erdogan tidak kuat seperti Erbakan pegangan Islamnya,” jampuk salah seorang dari kami.

“Dasar (parti)nya pun sekular, bukan Islam seperti (Parti) Saadat,” katanya lagi.

Sebenarnya ramai ahli PAS yang ragu dengan Erdogan kerana tindakannya berpecah dengan Prof Erbakan dan menjadikan AKP sebagai pendukung sekular. Ahli-ahli PAS tahu, AKP jauh lebih baik berbanding dengan parti-parti hardcore sekular yang lain di Turki ketika itu. Kebimbangan memang wujud, kalau-kalau mereka juga terjerat di dalam sistem sekular yang pekat itu. Erdogan sendiri pernah dipenjara ketika menjadi Datuk Bandar Istanbul hanya kerana menyebut Islam di dalam puisinya.

“Orang Turki ni, kalau yang Islamik, kuat Islamnya,” tiba-tiba Ustaz Hassan bersuara mempertahankan Kerajaan AKP di Turki.

“Contohnya, Ustaz,” saya segera mencelah.

“Enta pernah dengar cerita Sultan Abdul Hamid tidak mahu menjual Palestin kepada Yahudi?” ringkas sahaja jawapan Ustaz.

Jawapan ini segera membuatkan saya teringat kepada kisah Theodore Herzl yang cuba membujuk Sultan Abdul Hamid II sebagai khalifah ketika itu untuk menjual Palestin kepada orang Yahudi untuk didirikan negara Yahudi di situ. Ketika Sang Khalifah itu menolaknya, pemimpin Zionis itu menawarkan sejumlah wang kepada khalifah untuk membayar hutang negara. Tetapi baginda bertegas untuk tidak menjual maruah umat Islam, semata-mata kerana sejumlah wang itu.

Ujian untuk PAS

“PAS pernah tak diuji seperti itu, Ustaz? Orang bagi wang berjuta-juta untuk PAS jual agama?” saya segera mengalihkan ibrah itu kepada PAS.

“Ada. Kenapa pula tiada. PAS diuji dengan bermacam-macam. Ada pemimpin PAS dibunuh, dipenjara, dibuang daerah, dirasuah dan macam-macam. Ada pemimpin melompat parti kerana dibeli. Bahkan, PAS sendiri pernah cuba dibeli!” tegas Ustaz menceritakan ujian-ujian dalam perjuangan PAS.

“Menarik ni. Siapa yang nak beli PAS tu, Ustaz? Kurang ajar betul,” orang muda sudah panas hati!

“Lim Goh Tong. Tauke judi Genting tu,” selamba saja Ustaz menjawab pada kami, yang membuatkan kami ternganga.

“Tauke judi nak beli PAS? Pelik juga. Macam mana ceritanya, Ustaz?” saya terus mendesak Ustaz.

“Dulu, masa tahun 1960-an, Lim Goh Tong merancang nak buka pusat peranginan di Genting (Highland). Dia pakat dengan Speaker Dewan Rakyat masa tu, Tan Sri Mohd Noah Omar untuk meminta tanah di bukit Genting tu. Noah Omar ni pak mertua Tun (Abdul) Razak (Hussein), kira-kira datuklah kepada (Datuk Seri Mohd) Najib (Abdul Razak). Tun Razak masa ni adalah Timbalan Perdana Menteri. Dengan pengaruh Tun Razak, Lim Goh Tong dapat berbelas ekar tanah di Pahang dan dua tiga ribu ekar di kawasan Selangor. Kira-kira nak gaduh jugalah dengan Datuk Harun (Idris) masa ini, sebab Datuk Harun tak nak kasi.

“Masa dekat-dekat 13 Mei (1969), projek hotel atau bukit tu hampir siap. Tunku Abdul Rahman (Putra) yang buka. Bila berlaku 13 Mei, kisah Genting ni diam sekejap, kerana orang Melayu tengah bergaduh dengan Cina. Rupa-rupanya, Lim Goh Tong pergi ke Hong Kong. Macau juga kot. Dia gi berunding dengan tokey-tokey judi untuk buka kasino di Genting. Dia pun pergi Korea juga, untuk cari partner dengan tauke kasino kat sana.

“Ketika keadaan politik sudah mulai reda, dan darurat dah tamat, tiba-tiba Lim Goh Tong dapat lesen buka kasino di Genting. Masa ni, kita (PAS) masih pembangkang. PAS memang tidak setuju, kerana ni kasino yang pertama di Malaysia. Sebelum ni pun, PAS tegas menolak judi berlesen yang ada sejak zaman Orang Putih lagi,” panjang lebar Ustaz memberikan latar belakang kisah ini kepada kami.

“Jadi, kasino di Genting ni wujud sebelum PAS masuk (Kerajaan) Campuran lah, Ustaz? Dan datuk Najib (Tan Sri Noah) tu salah seorang pengasas kasino tu lah?” saya mengambil kepastian dari Ustaz.

“Ya,” Ustaz membenarkan kesimpulan saya. Saya mendapatkan kepastian ini supaya saya boleh membantah jika ada orang memfitnah bahawa kasino Genting dibuka ketika PAS berada di dalam kerajaan. Fitnah seperti ini biasa dilemparkan kepada PAS, dan ia ditelan oleh orang yang tidak mengetahui ‘timeline’ politik Malaysia.

PAS masuk kerajaan, diuji dengan judi

“Kenapa Lim Goh Tong nak beli PAS?” saya bertanya lagi.

“Ketika PAS sedang berunding untuk membentuk Kerajaan Campuran dalam tahun 1972, antara perkara yang ditegaskan oleh PAS dalam siri-siri rundingan itu ialah hak PAS untuk tidak bersetuju atau membantah di dalam mesyuarat kerajaan, jika ada perkara yang bercanggah dengan agama.

“Masa ni, Tun Razak bersetuju, supaya semua perkara berkait dengan agama, mesti mendapat persetujuan PAS. Kalau PAS tidak bersetuju kerana sesuatu yang bercanggah dengan agama, kerajaan tidak boleh laksanakan,” jelas Ustaz lagi.

Saya melihat di sinilah ketegasan pemimpin PAS ketika itu di dalam menjamin kemuliaan dan ketinggian Islam. Apabila saya menyemak butir-butir perjanjian PAS-Perikatan yang ditandatangani pada 28 Disember 1972, memang tercatat hal ini pada Perkara 12 yang berbunyi: “12. Kebebasan anggota PAS dalam Kabinet Pusat, Exco Negeri, Parlimen dan Majlis Undangan Negeri untuk membangkang sebarang cadangan atau undang-undang yang berlawanan dengan Islam hendaklah terjamin”.

“Bagaimana kisah Lim Goh Tong membeli PAS tu, Ustaz?” saya meneruskan pertanyaan.

“Selepas dua tiga tahun operasi, Hotel Genting dengan kasinonya dah maju. Jadi sekitar tahun ’74 (1974), Lim Goh Tong ada kemukakan cadangan kepada kerajaan. Tujuannya nak membesarkan Genting dan tambah kasino. Jadi, Tun Razak penuhi janji dia. Dia bawa perkara ni untuk dipersetujui oleh PAS, sebab kasino ni judi dan melibatkan hukum agama. PAS tidak cakap banyak, terus menolak cadangan Lim Goh Tong. Jadi Tun Razak pun terpaksa tolak juga, kerana PAS tidak bersetuju,” panjang keterangan Ustaz untuk menjelaskan kisah cadangan Lim Goh Tong ini.

“Apa tindakan Lim Goh Tong?” saya meneruskan ‘penyiasatan’.

“Masa selepas Pilihan Raya Umum ’74 tu, Lim Goh Tong hantar orang dia jumpa ana. Nak bincang pasal projek Genting yang PAS tak setuju tu. Orang tu datang nak minta PAS supaya bertolak ansur dan bersetuju dengan cadangan tersebut. Ana bertegas, PAS tidak boleh setuju. Ana beritahu dia, kasino ni judi. Judi haram dalam Islam. PAS tak boleh benarkan!” tegas sekali Ustaz mempertahankan dasar PAS itu.

“Orang Lim Goh Tong tu balik saja ke, Ustaz?” saya mengorek cerita utusan tauke judi itu pula.

“Tak habis di situ. Lepas tu dia buat tawaran kepada PAS,” jelas Ustaz tentang helah yang dibuat oleh wakil Lim Goh Tong itu.

“Dia kata, pembesaran Genting ni sangat penting. Ni projek pembangunan yang besar untuk kemajuan masa depan. Jadi, dia kata kalau PAS setuju untuk sokong, pihak Lim Goh Tong bersedia memberikan sumbangan kepada PAS sebanyak RM2 juta. RM2 juta masa ni sangat besar, lebih daripada RM20 juta sekarang. RM2 juta ni boleh buatkan orang kelabu mata,” jelas Ustaz lagi.

“PAS ambil ke duit tu, Ustaz?” saya mula panasaran untuk mengetahui kisah selanjutnya.

“Kita bertegas. Judi tu haram. PAS tolak mentah-mentah duit RM2 juta tu. Jadi, dia pun gagal membeli PAS,” jelas Ustaz lagi.

“Habis tu macam mana dengan projek tu?” saya mencari kepastian.

“Lim Goh Tong pun terkebil-kebillah!” Ustaz menyatakan kekecewaan jutawan kasino itu kerana sikap tegas yang menolak tawarannya untuk membeli dasar PAS itu.

“Projek tu sebenarnya boleh buat juga akhirnya. Bila PAS dipecat dari BN pada akhir 1977, mereka bawa semula projek tu kepada Kerajaan BN zaman Tun Hussein (Onn). Dalam tahun 1981, masa Dr Mahathir baru jadi Perdana Menteri, pembesaran kasino tu siap. Mereka boleh besarkan kasino tu, apabila PAS sudah terkeluar dari kerajaan,” jelas Ustaz dengan bangga kerana dapat mempertahankan dasar perjuangan PAS.

MOHD FADLI GHANI

Saya pun tumpang bangga ketika itu kerana PAS berjaya mempertahankan dasarnya, dan dapat mempertahankan hukum Islam walaupun cuba dibeli oleh penganjur perjudian dengan jutaan ringgit. Kerana itu, kepada orang-orang yang cuba memfitnah PAS bahawa parti Islam ini menjual dasarnya apabila berada di dalam kerajaan atau PAS menjadi syaitan bisu, termasuk soal penambahan cabutan judi dan kebenaran operasi kilang arak, mereka perlu melihat semula sejarah ini. PAS tidak pernah menjual agama kerana kepentingan dunia!

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 2/6/2021

- Advertisement -