Operasi kilang arak: Jangan ulangi kesilapan

ALHAMDULILLAH. Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menyambut dengan penuh syukur kepada Allah atas keputusan segera pihak kerajaan untuk menutup operasi kilang arak dalam tempoh pelaksanaan PKP 3.0 (Total Lockdown). DUPP bersama-sama dengan PAS Pusat serta NGO-NGO menyuarakan bantahan tegas atas kebenaran beroperasi yang telah diberikan kepada kilang arak oleh pihak MITI. 

Advertisement

Keputusan segera ini diharapkan menjadi asbab untuk mendapat pertolonganNYA untuk memerangi Pandemik COVID-19 di samping memperoleh keberkatan dan keredhaan Allah S.W.T dalam pembinaan sebuah negara dan masyarakat yang bertakwa..

Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam kenyataan media DUPP sebelum ini, DUPP sentiasa tegas dan tidak akan berkompromi sama sekali dalam perkara-perkara yang mengundang murka Allah S.W.T.. DUPP akan berusaha secara Istiqamah untuk menyokong dalam perkara-perkara yang selari dengan syarak dan akan mengemukakan bantahan dengan pelbagai saluran dan ruang yang ada dalam perkara-perkara yang bercanggah denggan syariat Allah S.W.T.. Firman Allah S.W.T:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran.”

(Al-Maidah:2)

DUPP juga memberikan ingatan agar pihak MITI atau kementerian-kementerian lain agar lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan, apatah lagi yang berkait dengan sudut pandang agama serta sensitiviti masyarakat yang sedang berada dalam situasi getir menghadapi Pandemik COVID-19. 

DUPP sekali lagi menzahirkan dukungan dan penghargaan kepada pihak Kerajaan Perikatan Nasional atas tindakan penutupan segera pengoperasian kilang arak.

“Ulamak Perteguh Muafakat”
“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) – HARAKAHDAILY 2/6/2021