Geng Ustaz bantu ‘Gerakan Masjid’ kempen vaksinasi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan mensasarkan imuniti kelompok menerusi suntikan vaksin COVID-19 ke atas 80 peratus penduduk negara ini dapat dicapai sebelum Disember tahun ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Ahmad Amzad Hashim memberitahu usaha itu akan diadakan bersama beberapa pihak terutama menerusi ‘Gerakan Masjid’.

Beliau berkata demikian setelah menerima kunjungan Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulamak atau Geng Ustaz membincangkan inisiatif itu di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

Kempen ini beritahunya, akan dilaksanakan menerusi penyelarasan bersama Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ke seluruh negara dengan perintisnya dilaksanakan di Terengganu.

Jelas beliau, perkara itu telah mendapat persetujuan Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Menteri Penyelaras Vaksin serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu.

Timbalan Presiden Geng Ustaz, Ustaz Ahmad Dasuki Abdul Rani memaklumkan pihaknya sedia menggerakkan para asatizah, pusat rawatan Islam dan institusi pondok untuk tujuan tersebut.

Amzad dalam pada itu turut akan meminta dukungan sukarelawan Pertubuhan Perubatan Ibnu Sina (PAPISMA) bagi melancarkan lagi usaha kempen ini ke seluruh negara.

“Mereka sangat berpengalaman di dalam ‘crowd management’ yang mana kita ada menerima permohonan tawaran untuk berkhidmat secara sukarela untuk membantu melancarkan program imunisasi.

“Semua inisiatif ini saya yakin akan dapat meningkatkan lagi kadar vaksinasi harian yang sekarang ini sasaran kita dalam Jun sebanyak 150,000 setiap hari. Sasaran kita mulai Julai 200,000 setiap hari.

“Jadi saya ucapkan terima kasih banyak kepada Geng Ustaz. Saya harap dan saya akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk menjayakan program-program menggalakkan rakyat untuk tampil untuk divaksinasi.

“Dalam masa yang sama, sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan. Kita jangan lupa ikhtiar ini tidak akan sempurna tanpa adanya pergantungan kita kepada Allah S.W.T.

“Jadi kerana itu saya mengalu-alukan antara lain yang pernah cadangan tentang supaya disertakan sekali di pusat vaksinasi tentang amalan-amalan yang wajar dilaksanakan oleh umat Islam selain daripada menerima vaksin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/6/2021

- Advertisement -
- Advertisement -