Cerita mengenai isu arak

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH semalam telahpun diisytiharkan oleh kerajaan berkenaan pembatalan kebenaran kilang arak daripada menjalankan operasi mereka sewaktu arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ini kerana arak tidak dijustifikasi sebagai barangan keperluan sewaktu PKP. Maka berpecah rakyat kepada dua kelompok. Satu kelompok bangga dan satu kelompok makin benci dengan keputusan kerajaan ini.

Saya ada menulis dahulu berkenaan silap faham yang mungkin berlaku atas arahan ini. Tidak mengapa, saya ulang beberapa perkara. Masih anda ingat ketika Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa mengisytiharkan pengharaman jualan arak di Wilayah Persekutuan tahun lalu, tiba-tiba, masih terdapat arak-arak dalam tin yang dikategorikan sebagai ‘soft drink’. Teruk Tan Sri Annuar dikerjakan netizen kerana didakwa ‘menipu’.

- Advertisement -

Oleh itu, sebelum kefahaman yang salah hadir, elok saya sebutkan secara ringkas berkenaan perbezaan ini. Arak yang diharamkan adalah arak yang mempunyai kandungan alkohol yang tinggi sehingga 40 peratus. Mungkin kalau boleh disebut contoh, Vodka dan Whisky dan seumpamanya. Tetapi pada kebiasaannya soft drink seperti bir ini, mempunyai alkohol yang rendah di bawah 0.5 peratus.

Isu arak ini telah bermula sewaktu PAS Terengganu menang PRU10 pada tahun 1999. Namun setelah itu, bilangan lori membawa apa yang kita fikirkan sebagai arak itu, tidak berkurangan. Kepada pimpinan, persoalan ini ditanyakan. Maka dijawab mereka sebagaimana tadi. Ada kategori bukan arak walaupun ia mengandungi alkohol. Jadi terpaksalah kami semua diam sahaja, tidak boleh berbuat apa-apa.

Ia kelihatannya menjadi seperti isu kewajipan menutup aurat. Bagi wanita Islam, muka dan dua tapak tangan sahaja bukan aurat. Manakala bukan-Islam, asal sahaja mereka berpakaian sopan, maka tiada isu berkenaan aurat. Jadi kita tidak boleh mewajibkan bukan-Islam berpakaian seperti Muslimah atas dasar kefahaman aurat kita itu kepada mereka. Sama seperti hal ini juga, soft drink bagi mereka adalah dibolehkan walaupun ada alkohol. Manakala bagi kita pula ia adalah arak, dan haram walaupun setitis.

Oleh sebab itu maka Kerajaan Kelantan ketika mula-mula menang dahulu melalui kuasa yang ada, Almarhum Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) hanya menghadkan penjualan arak, tidak mengharamkan semua. Berbeza dengan judi, tiada budi bicara, tutup terus. Hal yang sama diikuti oleh Kerajaan Terengganu selepas itu. Sehingga sekarang, tiada isu pun berkenaan penjualan arak yang dihadkan di kedua-dua negeri ini. Tetapi tetaplah kita sebagai orang Islam memasang niat, tidak mahu semua ini, tetapi kita bertindak atas keupayaan kita.

Jika di kedua negeri ikon PAS yang dikuasai penuh ini, tidak menghalang secara total penjualan arak, maka, apa lagi dengan Kerajaan Malaysia yang PAS hanya menjadi penumpang sahaja. Lebih lagilah tiada kuasa. Tetapi isu yang dibangkitkan ialah ketika pandemik COVID-19 sedang menggila, mengapa masih mahu mencari arak? Adakah ini solusi? Adakah ini memberikan kebaikan kepada masyarakat? Inilah maksud PAS yang mahu arak tidak dikategorikan sebagai barangan keperluan. PAS, lantang menentang dan menang.

Tetapi, di manakah ahli partai-partai lain yang mengaku memperjuangkan Islam? Adakah perjuangan mereka terpilih sahaja seperti perjuangan membebaskan Palestin yang popular dan cepat dilihat orang? Tidak beranikah mereka menyuarakan hak orang Islam, walau rakan mereka itu kafir yang amanah? Adakah hak kafir yang amanah itu sahaja yang perlu diraikan seperti ketika mereka mahu mengadakan pesta minuman keras, maka rakan si kafir, orang Islam itu pula yang bersungguh mencari dalil?

Sebuah cerita benar berkenaan arak. Seorang juruteknik yang bekerja di sebuah kilang membekal peralatan bayi kita namakan A, bertemu dengan seorang juruteknik yang bekerja di sebuah kilang memproses minuman arak, iaitu B. Kedua-duanya Islam, tidak mengenali, pergi ke klinik. Maka berlakulah perbualan santai. Setelah memperkenalkan diri dan sedikit latar belakang, si A bertanya apa sakit si B.

Jawab si B anaknya yang sentiasa mengalami kesakitan. Oleh kerana prihatin, A berpesan kepada B, mungkin ini adalah kerana pekerjaannya di kilang arak itu, walaupun gaji lumayan, tetapi ia adalah haram dan mungkin atas sebab itu, maka anaknya sentiasa sakit. Si B tunduk, insaf mendengar nasihat A dan mengaku salahnya. Si A kemudiannya balik menceritakan hal ini dengan bangganya kepada rakan-rakannya yang lain pada waktu lain.

Ketika menceritakannya, si A membandingkan kerjanya yang lebih baik itu dari segi hukum, walaupun gaji lebih rendah. Sambil dia menceritakan juga betapa kemudahan mengambil beberapa barang bayi, produk syarikatnya untuk dibawa balik ke rumah. Ia menjimatkan belanjanya. Lalu ditanya oleh seorang rakannya yang lain, habis, bukankah itu mencuri namanya? Terus terdiam A. Dia lupa bahawa mencuri juga berdosa, bukan arak sahaja.

Jika boleh dikaitkan, kita sekarang ini melihat kepada arak, bagus, kita tentang kerana haram. Tetapi bagaimana dengan riba? Berapa orang yang masih mengambil riba? Terlalu ramai. Ia jelas dan nyata haram kerana kita sudah ada sistem kewangan Islam yang diperakui ulamak dunia. Istilah yang ada hanya halal dan haram dalam riba, era sekarang. Berbeza zaman dahulu, kita tiada pilihan, terkadang terpaksa.

Ketika kita ralit bercakap mengenai arak, kita lupa yang Almarhum TGNA dan juga Presiden PAS telah menutup terus pintu riba dalam kerajaan pimpinan mereka, kerana ia tiada pilihan lain. Ramai orang tidak sanggup meminum air yang bercampur dengan setitik arak, kerana haram. Tetapi tetap bergelumang dengan selamba dalam riba walaupun tiada alasan yang Syarie untuk mereka. Mereka lupa riba, judi itu haram, sudah dihapuskan di negeri PAS dengan kemampuan mereka.

Tetapi musuh PAS ini tetap mensasarkan arak bagi memalitkan PAS dengan dosa dan noda. Di negeri mereka, apa yang telah mereka haramkan berkait dengan kemurkaan Allah? Sila berikan senarainya. Dan yang sedihnya, segelintir ahli dan penyokong PAS tetaplah tidak melihat fakta ini. Mereka tetap mengikut telunjuk musuh berkenaan arak ini. Mereka sungguh naif dalam berpolitik, sentiasa menjadi mangsa musuh.

Mungkin dua orang dalam gambar di bawah ini sahaja yang mahukan arak sebagai barangan keperluan. Kalau tidak, tak bermayalah mereka melawan musuh. Memang arak keperluan utama mereka.

MOHD NASIR ABDULLAH
2 Jun 2021 – HARAKAHDAILY 2/6/2021 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -