Bantuan PKP 3.0 bukti kerajaan prihatin kepada rakyat

- Advertisement -

SEUSAI Perutusan Khas Perdana Menteri mengenai Bantuan PKP 3.0, semestinya membuatkan ramai yang menarik nafas kelegaan di samping memanjatkan rasa kesyukuran. Terdapat banyak inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di mana ianya dapat membantu rakyat tatkala berdepan dengan PKP 3.0 yang diperketatkan bermula 1 Jun 2021. PERMERKASA+ menjadi sandaran kepada Kerajaan Perikatan Nasional di dalam usaha memastikan kelangsungan kehidupan rakyat terus terjamin seterusnya memastikan daya tahan rakyat melawan COVID-19 sepanjang tempoh 14 hari PKP 3.0 kekal utuh.

Pemuda Perikatan Nasional menyambut baik usaha mulia kerajaan dan juga para kepimpinan yang tanpa ada rasa jemu tetap terus berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat. Pelbagai bantuan tertumpu diberikan untuk memberdayakan kehidupan rakyat pasca COVID-19 di samping program vaksinasi yang mana bakal dinaikkan jumlah suntikan harian daripada 80,000 dos sehari kepada 150,000 dos sehari. Kenaikan hampir 100 peratus ini dilihat mampu mempercepatkan usaha kerajaan untuk memastikan negara mencapai sasaran untuk mendapatkan Status Imuniti Kelompok. 

- Advertisement -

Selain itu, sejumlah RM450 juta juga bakal diperuntukkan kepada sektor kesihatan manakala RM550 juta untuk menampung pertambahan kos operasi dan juga pengurusan di dalam usaha untuk melawan pandemik COVID-19 di negara ini. Pemuda Perikatan Nasional juga ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan yang telah berjaya menggembleng nilai pelaburan asing sebanyak RM109.8 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2020. Meskipun kesan pandemik COVID-19 telah mengakibatkan pelaburan asing menjunam di peringkat global dan rantau ASEAN, namun Malaysia kini akan menuntaskan perbincangan untuk meluluskan 240 projek pelaburan asing berprofil tinggi yang pastinya akan mencipta nilai serta membuka peluang pekerjaan yang berteknologi dan inovasi untuk pekerja mahir. Selain itu, aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub kesihatan serantau juga akan memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi negara.

Pemuda Perikatan Nasional juga merakamkan sekalung penghargaan kepada kerajaan kerana peka terhadap kemaslahatan anak muda apabila mengambil kira pandangan dan buah fikiran yang Pemuda Perikatan Nasional cadangkan baru- baru ini. Antara cadangan tersebut adalah pemberian Moratorium kepada rakyat biarpun anak muda masih perlu ‘opt in’ untuk mendapatkan bantuan ini, sekurangnya mereka boleh memilih antara 3 bulan moratorium ataupun potongan 50 peratus daripada bayaran bulanan selama 6 bulan. Pemberian wang tunai juga diberikan kepada anak muda yang terdiri daripada golongan B40 dan M40 tidak ketinggalan juga buat anak muda yang terlibat dalam perniagaan yang mana kerajaan berbesar hati untuk menyediakan suntikan kewangan sebanyak RM1500 melalui Program Geran Khas Prihatin (GKP). Kesemua ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan hari ini prihatin dan inklusif di dalam merencanakan kelangsungan anak muda di negara ini.

Justeru, Pemuda Perikatan Nasional menyeru dan merayu agar kita semua menggembleng tenaga bersama-sama memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini dengan duduk di rumah sepanjang tempoh 14 hari PKP 3.0. Ianya teramatlah penting agar usaha untuk merendahkan jumlah kadar kes positif harian dapat dilaksanakan selain membolehkan kita untuk bangkit kembali di era pasca COVID-19 nanti.

Pemuda Perikatan Nasional juga menyeru agar semua Ahli Parlimen Malaysia tidak kira daripada blok pemerintah mahupun pembangkang untuk turut menyumbang gaji mereka selama tiga bulan seperti mana yang dilakukan oleh para Menteri dan Timbalan Menteri. Ini kerana, waktu inilah dilihat sesuai kepada ahli politik menunjukkan contoh teladan untuk berkorban demi rakyat dan negara.

YB SENATOR IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 2/6/2021

- Advertisement -