SOP khidmat guaman sepanjang PKP 1-14 Jun

- Advertisement -

SEBAGAIMANA pengumuman Kerajaan pada 30 Mei 2021, sektor perkhidmatan guaman tidak tersenarai di bawah kategori perkhidmatan perlu (essential services) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Pertama dari 1 Jun 2021 hingga 14 Jun 2021. Ini bermakna aktiviti-aktiviti perkhidmatan guaman adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh tersebut.

Walau bagaimanapun, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 31 Mei 2021 mengambil maklum bahawa kehadiran secara fizikal di mahkamah masih diperlukan bagi: 

(i) Pertuduhan Baharu, 
(ii) Penahanan Perintah Reman; dan 
(iii) Permohonan Jenayah Pelbagai. 

- Advertisement -

Sehubungan dengan itu, kerajaan bersetuju untuk memberi pengecualian kepada peguam-peguam yang perlu mewakili anak guam bagi urusan 2(i), 2(ii) dan 2(iii) untuk hadir ke mahkamah.

Kebenaran untuk ke mahkamah bagi peguam-peguam yang mewakili anak guam bagi kes Pertuduhan Baharu, Penahanan Perintah Reman dan Permohonan Jenayah Pelbagai ini boleh diperolehi daripada balai polis berdekatan. Pihak peguam dipohon untuk merujuk kepada SOP Perkhidmatan Guaman Sepanjang Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di platform komunikasi Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain itu, kerajaan turut bersetuju supaya firma guaman yang terlibat dengan perkhidmatan guaman corporate dan conveyancing untuk sektor perkhidmatan perlu (essential services) untuk memohon kebenaran beroperasi mengikut syarikat atau kilang atau perniagaan berkaitan perkhidmatan perlu (essential services) yang diwakili. Dalam hubungan ini, firma guaman yang mewakili syarikat atau kilang atau perniagaan ini boleh memohon kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui portal COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.

Semua pihak diminta patuh kepada arahan-arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Fasa Pertama berkuatkuasa agar objektif untuk melandaikan lengkuk jangkitan COVID-19 dapat dicapai.

DATUK SERI TAKIYUDDIN BIN HASSAN
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Parlimen dan Undang-undang)
1 Jun 2021 – HARAKAHDAILY 1/6/2021

- Advertisement -