Man Siam dituduh membunuh

- Advertisement -

KOTA BHARU: Seorang penjaga reban ayam atau dikenali sebagai ‘Man Siam’ telah didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana dipercayai menikam kenalannya, Mohd Daiylamien Mohd Ashari sehingga maut.

Dalam kejadian tersbut, Man Siam dipercayai menikam kenalannya sehingga mati selepas mangsa dikatakan terpijak kepalanya ketika dia tidur.

Tertuduh, Sulaiman Yaacob, 22 bagaimanapun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Kamarul Hashimi Rosli, tanpa sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, di Mahkamah Majistret Kota Bharu, hari ini.

- Advertisement -

Mengikut kertas pertuduhan, beliau didakwa membunuh Mohd Daiylamien di reban ayam di belakang sebuah rumah di Kampung Che Arus, Kok Lanas, di sini, pada 19 Mei lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan boleh membawa hukuman mati, sekiranya disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 1 Ogos sebagai sebutan semula kes serta serahan laporan bedah siasatan.

Terdahulu, suspek telah direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dalam kejadian di Kampung Che Arus, Bukit Merbau, Kok Lanas.

Man Siam ditahan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu ketika bersembunyi dalam semak pada 20 Mei lalu – HARAKAHDAILY 1/6/2021

- Advertisement -