Kekejaman Israel jangan dipandang biasa

- Advertisement -

KETIKA Perang Bosnia pada tahun 1995, tentera Serbia telah membunuh umat Islam Bosnia Herzegovina yang tidak berdosa secara kejam, merogol wanita-wanita Islam, dan memusnahkan kediaman yang berada di laluan mereka. 

Dunia mengecam penghapusan etnik Muslim Bosnia ini dan menyifatkannya sebagai insiden berdarah yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Ceritanya serupa dengan konflik tanah Palestin, tetapi tanggapan dunia semakin berbeza. Setelah 73 tahun tanah Palestin dijajah oleh negara haram Israel, kekejaman yang dunia pernah saksikan suatu ketika dahulu sudah menjadi pemandangan biasa. 

- Advertisement -

Baru-baru ini, seorang remaja perempuan yang berumur 16 tahun, iaitu Jana Kiswani telah ditembak oleh tentera Israel di hadapan rumahnya di Sheikh Jarrah. Tulang belakangnya retak dan paru-parunya cedera.

Sedangkan pada waktu itu anak ini tidak melakukan ancaman apa pun, melainkan berdiri di hadapan rumahnya ketika menghidangkan kopi buat si ayah dan tetamunya. Adakah menyakitkan seorang remaja perempuan secara suka-suka ini bukan sejenis kekejaman?

Seperti biasa, media-media Antarabangsa segera melaporkan bahawa kerajaan haram Israel telah berjanji untuk melakukan siasatan terhadap peristiwa ini. Mereka berterusan menyalahkan serangan HAMAS sebagai punca mereka perlu mempertahankan diri, justeru HAMAS-lah yang sebenarnya telah membahayakan nyawa orang awam.

Berdasarkan kepada statistik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Palestin pula, sekurang-kurangnya 3,090 orang kanak-kanak dibunuh oleh tentera Israel antara 2000 hingga 2021. Seorang demi seorang kanak-kanak dibunuh tanpa alasan yang jelas, menunjukkan pihak berkuasa Israel gagal mengawal diri dalam siri serangan keganasan terhadap rakyat Palestin.

Sama keadaannya seperti tentera Serbia yang terus menyerang Bosnia Herzegovina walaupun telah menandatangani perjanjian damai, semua ini menunjukkan bahawa tidak mungkin wujud penyelesaian menang-menang dalam konflik Palestin.

Kekejaman yang dilakukan, kecil atau besar, setiap hari, setiap minggu, setiap Ramadan, setiap tahun tidak boleh dilihat sebagai biasa. Teruskan semangat dan usaha kita membantu Palestin membebaskan dirinya. Buktikan bahawa sokongan dan bantuan kita bukan bermusim.

YB DATUK AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 1/6/2021

- Advertisement -