Izin syarikat arak beroperasi mengundang bala Allah

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) membangkang dengan keras pengoperasian mana-mana kilang arak sepanjang negara sedang bergelut dengan wabak pandemik ini terutama isu berhubung kebenaran oleh MITI kepada syarikat Carlsberg Brewery Malaysia Berhad pada 1 Jun 2021 walaupun dengan SOP yang ketat.

Arak tidak boleh dikategorikan sebagai produk atau perkhidmatan perlu yang diberikan kebenaran operasi sepanjang negara melaksanakan kuncitara penuh (total lockdown) bermula 1 Jun 2021, hari ini. Malah dengan kewarasan akal, tidak wajar kilang arak dibenarkan beroperasi kerana tiada manfaat langusng malah hanya mengundang musibah tatkala negara dan rakyat bergelut untuk sama-sama melandaikan graf angka positif Covid-19.

Arak hanya akan menambahkan musibah. Berapa banyak rekod yang melibatkan kes kemalangan jalan raya sehingga ada yang meragut nyawa gara-gara kes pemandu mabuk. Malah insiden sedih yang tidak dilupakan apabila seorang pegawai polis yang terkorban nyawa kerana dirempuh kereta yang dipandu dalam keadaan mabuk ketika sedang bertugas menjaga Sekatan Jalan Raya (SJR) di Lebuhraya LEKAS pada tahun lepas.

- Advertisement -

Jika MITI tidak menarik kembali kebenaran beroperasi kepada syarikat arak ini, jelas ia hanya menunjukkan sikap tidak sensitif dengan apa yang telah berlaku dan suasana ketika ini. Sedang petugas barisan hadapan berkorban masa dan tenaga, malah jabatan-jabatan serta institusi agama sedang giat melakukan pengimmarahan kerohanian di kaca televisyen serta masjid dan surau, maka tidak wajar syarikat arak diberikan beroperasi.

Tidak ada alasan yang wajar diterima untuk kilang arak beroperasi sama ada dari sudut ekonomi, kesihatan apatah lagi nyawa. Malah jika terdapat dakwaan “kepentingan atau manfaat” arak kononnya, ia hanya dakwaan yang tidak berasas kerana mudarat yang menimpa kesan daripadanya lebih buruk dan besar.

Firman Allah SW :

(۞ یَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَیۡسِرِۖ قُلۡ فِیهِمَاۤ إِثۡمࣱ كَبِیرࣱ وَمَنَـٰفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثۡمُهُمَاۤ أَكۡبَرُ مِن نَّفۡعِهِمَاۗ

Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya. [Surah Al-Baqarah: 219]

DUPP tegas membantah dan mengajak ummah untuk menzahirkan bantahan sehinggalah kebenaran ini ditarik semula. Perkara yang jelas kemudaratan dan mengundang musibah mengapa perlu dibiarkan? Malah amat malang jika MITI tidak menarik semula kebenaran ini, atas alasan ekonomi, kerana keutamaan sekarang ialah nyawa dan kesihatan.

DUPP juga menyeru kepada para ulama dan NGO Islam untuk bangkit bersuara dan membuat bantahan. Bantahan ini bukan kerana benci tetapi tanda prihatin dan sayang kepada kerajaan PN yang dipimpin oleh Melayu Islam. Jika suara bantahan ini didengari dan diambil perhatian sewajarnya, kami yakin kerajaan PN akan mendapat sokongan padu oleh para ulama dan ummah.

Justeru, untuk mengelakkan perkara sebegini berulang kali, mana-mana pihak perlulah merujuk kepada pihak yang berautoriti dalam Hal Ehwal Agama Islam seperti Jawatankuasa Fatwa bagi mendapatkan nasihat agama agar segala perjalanan perdagangan dan perindustrian sentiasa patuh syariah terutama dalam situasi pandemik Covid-19.

Firman Allah SWT:

(فَلَمَّا نَسُوا۟ مَا ذُكِّرُوا۟ بِهِۦۤ أَنجَیۡنَا ٱلَّذِینَ یَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلسُّوۤءِ وَأَخَذۡنَا ٱلَّذِینَ ظَلَمُوا۟ بِعَذَابِۭ بَـِٔیسِۭ بِمَا كَانُوا۟ یَفۡسُقُونَ)

Maksudnya: Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik (derhaka). [Surah Al-A’raf: 165]

Ulamak Perteguh Muafakat
Islam Memperkukuh Perpaduan

YB DR NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Pasir Puteh
20 Syawal 1442 l 1 Jun 2021 – HARAKAHDAILY 1/6/2021

- Advertisement -