Isu kasino Genting: Baharu kini PAN sedar?

- Advertisement -

PAN Negeri Pahang yang selama ini bagaikan tidak wujud, tetapi secara tiba-tiba muncul menempelak PAS dan Umno dalam isu kasino Genting Highland. Bagai baru bangun dari tidur atau terkena rasukan, PAS dikatakan hilang sensitiviti agama, bisu dan menggunakan sentimen agama.

Syukur PAN mahu melihat isu ini daripada sudut agama, malangnya semberono, dangkal dan bagaikan katak di bawah tempurung. Jika tidak pun untuk memanjangkan adu domba, manipulasi dan fitnah sebagaimana kebiasaan mereka sebelum ini, ia tidak lebih meraih perhatian semata-mata.

- Advertisement -

PAN sengaja menutup mata celik dan telinga mendengarnya terhadap ketegasan dinyatakan PAS menolak sama sekali industri judi maksiat dan dosa noda. Gesaan berkaitan tidak pernah berhenti sama ada semasa menjadi pembangkang mahupun kerajaan kini menerusi media, memorandum, pertemuan dan mesyuarat disertai PAS.

Ketika sama, prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal lagi menetapkan premis seperti pub, kelab malam dan kasino tidak diberi kebenaran operasi sama sekali. Adapun yang ingkar, ianya melalui proses penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.

PAS Negeri Pahang sendiri secara khusus ada mengeluarkan kenyataan mengenai operasi kasino Genting Highland. Biarlah dengan kemudahan teknologi di hujung jari, PAN Pahang mencarinya sendiri. Tetapi anehnya sejak dahulu pelbagai kepentingan Islam diperlekeh, di mana PAN selama itu?

Seperti dikatakan, tidak semena-mena kembali untuk membidas PAS, sedangkan selama ini PAN bagaikan sudah mati langsung tidak bersuara saat tuannya DAP menginjak-injak Islam. Usahkan kata pasal tulisan Jawi yang diheret ke mahkamah, Islam dicabar dalam Perlembagaan pun PAN tidak bersuara.

Lebih malang, PAN berlunak dengan agenda seperti Liberalisme, Pluralisme serta yang mendukung aktivisme seperti LGBT dan seumpamanya. Adakah PAN bersuara dalam hal agama pada perkara terpilih atau mengikut ‘subsidi upah’ dari tuannya untuk bersuara dan menyerang lawan politiknya?

Kasihan dengan kongkongan sedemikian sepertimana ramai pimpinan PAN hari ini merepek tidak tentu pasal. Islam tidak terbela dengan kesungguhan bermotivasi hambatan dunia seperti dikejar PAN dan hikmah pendekatan yang mesra tidak bertempat, tetapi bacul membela maruah agama.

Cukuplah menunjukkan diri bagai katak di bawah tempurung dan menjadi alat pihak yang menunggang agama. PAS secara intensif sedang giat berusaha memastikan pengurangan operasi seumpama menjelang 2025 secara berfasa dan penyusunan undang-undang yang lebih kuat.

Sehingga iltizam tersebut mencapai puncak jayanya, kami menanti bilakah PAN bersedia bersama dalam agenda ini atau akan terus dengan sikap dolak-dalih seperti selalunya? Cukuplah kepura-puraan selama ini dan mainan politik kamu yang sebenarnya bertopengkan agama.

PAS Pahang Insya-Allah secara konsisten akan terus memberikan teguran membina kepada kerajaan sama ada berkaitan dengan soal tadbir urus kerajaan negeri dan juga hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam.

PAS Pahang telah memanfaatkan segala saluran yang ada seperti sidang DUN Pahang atau pertemuan secara langsung dengan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang, dengan mengambil kesempatan sebagai sebahagian daripada kerajaan yang ada pada hari ini.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB USTAZ MOHD TARMIZI YAHAYA
Ketua Penerangan
PAS Negeri Pahang – HARAKAHDAILY 1/6/2021

- Advertisement -