Covid-19: Adun PAS Kedah potong gaji 70 peratus

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kesemua 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada PAS di Kedah bersetuju membuat potongan gaji sebanyak 70 peratus untuk membantu golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di negeri ini.

Pengerusi Kelab Penyokong Adun Kerajaan, Mohd Azam Abdul Samat berkata, potongan itu melibatkan gaji bulan Jun 2021.

- Advertisement -

“Keputusan ini untuk membantu meringankan bebanan kerajaan untuk rakyat Kedah terutama yang terjejas dan hilang pendapatan akibat wabak ini,” jelas beliau dalam kenyataan, hari ini.

Azam yang juga Adun Sungai Limau berkata, 50 peratus daripada gaji bulan Jun akan disumbangkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) manakala 20 peratus lagi akan disumbangkan kepada Tabung Bencana Covid-19 yang dilancarkan oleh PAS Pusat.

“Biarlah di kala sukar ini, kita harungi cabaran bersama dan semoga Allah terima segala amal soleh dan permudahkan segala urusan,” ujarnya lagi.

“Saya juga menyeru kepada golongan yang berkemampuan agar sama-sama membantu rakyat yang terkesan. Di kala ini, jangan hanya berbicara perihal tangan yang menerima tetapi juga jadilah juga golongan yang memberi,” katanya lagi.

Malam tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menyampaikan perutusan khas berkaitan Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) berkata, sebagai tanda sokongan untuk memutuskan rantaian Covid-19, barisan menteri dan timbalan menteri tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun ini.

Katanya, gaji yang tidak diambil itu akan disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19. – HARAKAHDAILY 1/6/2021

- Advertisement -