Tindakan persenda Agong berniat jahat

- Advertisement -

ARAU: Rakaman video seorang pemuda yang ada kaitan dengan parti pembangkang mempersendakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dianggap berniat jahat dan keterlaluan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis Ustaz Muhammad Azmir Azizan berkata, perbuatan individu terbabit menggunakan bahasa biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong sama sekali tidak boleh diterima.

“Bukan sahaja berlagak kurang ajar, individu berkenaan turut membuat tuduhan kononnya Yang di-Pertuan Agong tidak membuat apa-apa untuk menangani pandemik Covid-19.

- Advertisement -

“Malah dalam rakaman video itu juga dia menyebut “lawan tetap lawan, Tuanku,” ujarnya selepas membuat laporan polis terhadap Iswardy Morni berhubung perkongsian video tular di laman sosial Facebook.

Pemuda terbabit menggunakan nama Iswardy Morni Official di media sosialnya.

Laporan polis itu dibuat oleh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, di sini semalam. Hadir sama Ketua Penerangan Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Arau, Amrul Amri Chan.

Pada Jumaat lepas Iswardy memuat naik video secara ‘live’ berhubung Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini di Youtube rasmi miliknya.

Dalam video tersebut, Iswardy mendakwa Sultan Abdullah seolah-olah tidak melakukan sebarang tindakan terhadap peningkatan kes Covid-19.

Dalam video itu juga, Iswardy turut membandingkan Sultan Abdullah dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mencadangkan dilaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar di Johor.

Pemuda terbabit yang dikaitkan dengan PKR terbabit ditahan polis semalam dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 8(2) dan Seksyen 11 Akta Hasutan 1948.

Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hamzah Zainuddin juga memberitahu Iswardy turut disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Muhammad Azmir juga berkata, Pemuda PAS Perlis berharap pihak berkuasa menyiasat kandungan video tersebut dan mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan kes serupa berulang. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -