ALOR SETAR: Kes positif COVID-19 di negeri ini terus mencatatkan peningkatan sepanjang tempoh sejak 17 Mei lalu yang menyaksikan semua daerah telah berada dalam zon merah hari ini.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, kebanyakan kes adalah daripada saringan kontak rapat iaitu 54.8 peratus yang menjadi penyumbang peningkatan di negeri ini.
Terutama katanya, di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu di Kota Setar dan Kubang Pasu yang sejak dua minggu lalu kes tidak juga menurun.
“Itu memberi beberapa gambaran dan indikator iaitu pematuhan kepada SOP (prosedur operasi standard) PKPD kurang berkesan. Bermaksud semua kontak rapat yang diterjangkit COVID-19 ini tidak mematuhi SOP,” ujarnya.
Menurut Sanusi, kebanyakan kes adalah melibatkan virus dalam komuniti dan bersifat sporadik ataupun bertebaran di dalam komuniti di mana ia menjadi kebimbangan pihak kerajaan.
Sidang media secara atas talian itu selepas beliau mengadakan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri juga secara atas talian di mana turut memanggil taklimat dari Jabatan Kesihatan Negeri dan Majlis Keselamatan Negeri.
Perinci beliau, perkembangan terkini kes di dalam negeri ini selain saringan kontak rapat adalah daripada saringan kluster iaitu 17.9 peratus, kendiri (3.7), PKPD (4.3) dan bergejala (19.3).
Juga katanya terdapat kematian sebanyak enam kes masing-masing di daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Langkawi, Padang Terap, Pendang dan Yan menjadikan jumlah terkini 93 kematian di Kedah.
Sehubungan itu ujarnya, PKPD di dua daerah Kota Setar dan Kubang Pasu akan diteruskan hingga 14 Jun dan akan diselaraskan dengan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang berkuatkuasa esok.
“Kita menjangkakan PKP 3.0 yang akan berkuatkuasa esok akan dapat menurunkan kes dengan syarat semua rakyat negeri Kedah dapat bekerjasama untuk membataskan pergerakan memutuskan rantaian,” ujarnya merayu sungguh-sungguh pematuhan tersebut.
Maklumnya lagi, kes positif masih dirawat di hospital 332 kes, dengan 59 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan lapan kes di Unit Rawatan Selepas Anestesia (PICU), manakala 2,227 kes dirawat di rumah.
Jelas beliau, mereka yang dikuarantin di rumah itu melibatkan pesakit positif kategori 1 dan 2 kerana tidak serius, selain faktor katil di hospital sudah 93 peratus digunakan.
“Katil ICU di Hospital Sultanah Bahiyah, Hospital Sultan Abdul Halim dan Hospital Kulim kita ada lebih kurang 70 katil kesemuanya ICU di Kedah. 86 peratus telah digunakan. Keseluruhan daripada awal pandemik dikesan di Kedah kita ada 110 kluster, 40 masih aktif, 70 telah tamat.
“Kluster yang sedang aktif sekarang ini kebanyakannya adalah kluster kita sambut hari raya dan bulan Ramadan yang bersabit dengan aktiviti-aktiviti sosial dan keagamaan yang banyak. Dalam kalangan ahli jawatankuasa masjid sekarang ini 16 kes positif.
“Sebahagiannya masih pending, belum dapat keputusan. Saya harap perkara ini menjadi pengajaran untuk kita semua bagi kita menjaga betul-betul SOP yang telah ditetapkan.
“Di Kota Setar saja terdapat lebih 30 kes kematian BID iaitu bring in death pun paling tinggi adalah di Kota Setar. Di peringkat nasional BID mewakili 15 peratus daripada kes-kes kematian akibat COVID dan Kedah tidak terkecuali,” terangnya.
– HARAKAHDAILY 31/5/2021
Semua daerah sudah berada dalam zon merah
- Advertisement -