Raja adalah ibarat ayah kepada rakyat – TGNA

- Advertisement -

KEBELAKANGAN ini, timbul gerakan terbuka oleh beberapa pemimpin dan ahli politik pembangkang yang mencerca dan menghina Raja-raja Melayu di media sosial. Beberapa pemimpin dan ahli PKR telah cuba memberikan imej buruk terhadap Raja-raja Melayu, mengikuti jejak langkah pemimpin DAP yang pernah memainkan isu ini dengan memuat naik demontrasi di Istana Raja Thailand satu ketika dahulu.

Langkah para pendukung PH berbuat demikian membuktikan mereka tidak mewarisi perjuangan al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA), bekas Mursyidul Am PAS yang juga bekas Menteri Besar Kelantan.

- Advertisement -

Para pemimpin PAN, PKR dan DAP sering mendakwa bahawa mereka adalah mewarisi perjuangan Tuan Guru itu. Retorik mereka hanya untuk mengabui mata rakyat, kononnya mereka membela agama, bangsa Melayu dan institusi Raja-raja. Mereka kononnya mengajak sesiapa yang bersama Tuan Guru perlu menyokong PH. Sedangkan segala tindak-tanduk mereka sama sekali bertentangan dengan sikap dan amalan Tuan Guru. Nah! Lihat sahaja perbezaan sikap dan perbuatan mereka terhadap Raja-raja.

Tuan Guru pernah mengingatkan rakyat negara ini supaya menghormati institusi Raja-raja Melayu kerana baginda semua adalah ibarat bapa kepada seluruh rakyat. Sebagai anak, rakyat wajib menghormati Raja selaku bapa mereka. Perkara ini pernah ditegas oleh Tuan Guru beberapa kali, termasuk ketika beliau menghadapi krisis politik dengan Istana Kelantan pada 1998. Bagi meredakan krisis yang timbul ketika itu, beliau menegaskan bahawa sebagai rakyat, kita mesti menjaga adab dan menghormati Raja-raja seperti mana kita menghormati ibu bapa kita.

Ketika Tuanku Mizan Zainal Abidin menjadi Yang di-Pertuan Agong, Tuan Guru juga telah mengirimkan doa dan ucapan khas dari Tanah Suci kerana isu BERSIH 2.0 dan menyebutkan hakikat kedudukan Raja-raja adalah ibarat ibu bapa tempat rakyat mengadu hal mereka. Kata Tuan Guru kepada Tuanku Mizan Zainal Abidin: 

“Sesungguhnya KDYMM Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) adalah umpama ibu bapa tempat rakyat yang terdiri dari pelbagai kefahaman politik mengadu keluh kesah.”  kata Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 3 Syaaban 1432 bersamaan 5 Julai 2011.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -