Keputusan ‘total lockdown’ pertimbangan pakar-pakar

- Advertisement -

ADA DAH yang berkokok. Akhirnya total lockdown juga. Kalau… Kalau.. Kalau… Kalau… Kalau.. Akhirnya ikut juga saranan kami.. Kalau.. Kalau.. Kalau… Kalau… 

Biar saya terangkan untuk mudah faham. Semua keputusan yang diambil kerajaan adalah hasil perbincangan pelbagai pihak dalam Majlis Keselamatan Negara. Walaupun diumum oleh seorang Menteri atau Perdana Menteri, ia adalah hasil perbincangan lumat semua sektor dari pelbagai pakar negara dari kalangan penjawat awam.

- Advertisement -

Beberapa perkara mesti dinilai sebelum sesuatu keputusan dibuat. Ia bukan hanya untuk dilihat tindakan, tetapi juga kesan dari tindakan. Ia bukan hanya kesan kepada angka positif tetapi juga angka ekonomi yang diperlukan untuk mengurus angka positif. Ada yang berhujah, mana penting antara nyawa dan ekomomi? Bagi yang mengaji agama pula berhujah, tidakkah nyawa itu Maqasid Syara’ paling utama.

Saya pun nak berhujah juga, nyawa sangat penting, namun ekonomi penting untuk menyelamatkan nyawa. Mampukah Kerajaan membiayai penyelenggaraan hospital, menyediakan vaksin dan pelbagai urusan lain untuk menyelamatkan nyawa jika ekonomi negara terhenti? Rakyat juga mesti dibantu jika sektor ekonomi terhenti.

Namun tidak dinafikan menguruskan nyawa itu paling penting. Sebab itu Kerajaan terpaksa menilai keadaan dari masa ke semasa. Mengambil kira kemampuan dan implikasi yang dijangka berlaku. Kita tidak boleh menafikan faktor kepatuhan rakyat terhadap SOP juga adalah penyumbang peningkatan kes. Ini terbukti apabila siasatan kes dilakukan, terbongkar rahsia perlanggaran SOP yang menyumbang peningkatan kes yang Kerajaan bimbangkan.

Mencadang satu solusi memang mudah, tetapi sebagai pemimpin tertinggi semua faktor perlu dinilai berdasarkan pandangan pelbagai pakar. Ia melibatkan tanggungjawab terhadap kesan tindakan dan keputusan yang diambil. Berbeza dengan bekas pemimpin atau pembangkang yang tiada tanggungjawab. Cadangkan sahaja. Kalau berjaya, dapat kredit, kalau gagal, salahkan Kerajaan.

Sama seperti klinik kerajaan dan swasta. Klinik kerajaan atau hospital bermula dengan dos yang rendah. Jika masih belum pulih, dos dinaikkan sedikit demi sedikit. Berbeza klinik swasta yang hanya mahu cepat sembuh. Kalau kes kritikal, tolak ke hospital.

Sekarang Kerajaan membuat PKP penuh selama dua minggu. Ia dibuat dengan perancangan rapi. Berapa lama? Berapa peringkat? Bagaimana mengurus kebajikan rakyat dan lain-lain. Semoga usaha ini disokong oleh semua pihak termasuk pembangkang dan kumpulan bekas Perdana Menteri. 

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -