MAIK kesan penceramah agama antivaksin

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) memandang serius tindakan penceramah agama yang mendukung agenda antivaksin sehingga segelintir masyarakat menolak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Timbalan Yang Dipertuanya, Zulkifle Ab Rahman berkata, pihaknya kini bekerjasama dengan pegawai jajahan untuk mengesan individu yang merupakan pemegang tauliah mengajar MAIK sebelum diambil tindakan sewajarnya.

- Advertisement -

“Buat masa ini kita sedang mengenal pasti penceramah dan individu terbabit yang didapati menyebarkan dakyah yang tidak selari dengan dasar kerajaan dan kita akan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita juga mengalu-alukan laporan daripada orang ramai untuk kita mengambil tindakan kerana dengan tindakan pihak terbabit menyebabkan ada rakyat tolak suntikan, malah mengundang bahaya lebih besar kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyerahan barangan keperluan barisan hadapan bagi kegunaan Pusat Pemberian Vaksin bagi Daerah Pasir Mas di lobi MAIK di Kompleks Balai Islam hari ini.

Penyerahan sumbangan itu yang disempurnakan Zulkifle dan disampaikan kepada Ketua Jajahan Pasir Mas, Hazmi Abdul Hamid.

Zulkifle juga berkata, penceramah dan imam yang merupakan pemegang tauliah mengajar MAIK sepatutnya tidak mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan hasrat kerajaan ketika kes harian Covid-19 mencecah lebih 9,000.

Kejadian sebelum ini pun kata beliau turut menyaksikan kewujudkan beberapa kluster baru yang disebabkan perlanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh jemaah serta pengurusan masjid dan surau.

“Mereka mempunyai peranan yang besar dalam masyarakat, kita bimbang dengan kata-kata mereka boleh memberi kegusaran dan kita sangat pandang serius.

“Kita juga meminta setiap pegawai daerah yang mengetuai kumpulan pemantauan pematuhan SOP turun ke mukim untuk membuat laporan jika wujud perlanggaran peraturan oleh jemaah dan pengurusan yang ditetapkan,” katanya.

Ditanya mengenai pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi bagi fasa pertama bagi tempoh 14 hari bermula 1 Jun katanya, MAIK masih menunggu SOP terbaru yang akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Peraturan itu katanya berkaitan dengan kehadiran jemaah di masjid yang sebelum ini tujuh masjid bandar dan jajahan dengan kehadiran 50 orang dan empat orang bagi masjid mukim, diberikan kebenaran beroperasi.

“Mengenai total lockdown kita masih menunggu SOP yang akan dikeluarkan MKN, jadi kita kemungkinan akan mengeluarkan peraturan baru dalam masa terdekat.

“Jadi kalau kita lihat SOP tahun lepas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita hanya benarkan empat orang sahaja, jadi kemungkinan besarnya begitu juga, cuma kita sedang menunggu keputusan oleh MKN,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!