IPOH: Negara kehilangan sebutir permata berharga selepas pemergian Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang menghembuskan nafas terakhirnya hari ini.
Bermula dari seorang kadi biasa, pensyarah sambilan, kadi besar dan mufti, ketokohan Harussani, 82 tiada galang gantinya apabila diberikan amanat dan tangggungjawab menggalas pelbagai jawatan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa dek kemahiran dan keperibadiannya yang tinggi.
Dilahirkan pada 8 April 1939 di Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, Parit Buntar, Allahyarham ditatang dengan pelbagai ilmu dan pendidikan termasuk dari Sijil Tinggi Kolej Islam Malaya, Anglo Chinese School dan Kolej Islam Malaya Klang.
Penguasaan akademik yang tinggi di dalam bidang agama, syariah, undang-undang, Pendidikan Islam dan lain-lain membolehkan Allahyarham menjawat pelbagai tanggungjawab seperti:
Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak
Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak
Ahli Jawatankuasa Penggubalan Undang-undang Syariah Negeri Perak
Ahli Jawatankuasa Pembentukan Pelan Strategik Pendidikan Islam
Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Teks Al-Quran (KKDN – Timbalan Pengerusi)
Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia
Pengerusi Majlis Pengawasan Syariah SME Bank Berhad
Ahli Majlis Penasihat Kumpulan Maybank
Ahli Panel Penasihat Syariah Permodalan Nasional Bhd
Ahli Majlis Universiti Islam Malaysia (UIM)
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan
Tidak terhenti di situ, ketokohan Allahyarham turut diperlukan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila dipilih menyertai:
Kursus pendedahan di Muslim College of London, United Kingdom (1989)
Dialog Agama di antara penganut Islam, Yahudi dan Kristian di Bendorf, Jerman (1989)
Lawatan sambil belajar ke Negara-negara Timur Tengah dan Eropah anjuran Lembaga Perancang Keluarga Negara (1977)
Seminar Pemindahan Ginjal dan Cabaran dan Kemajuan Yang Dihadapi Islam di Rantau Ini – Singapura (1994)
Muzakarah Ulama’ Nusantara : Islam Di Alaf Baru : Menggaris Agenda Alaf Baru (1998)
Persidangan Ulama’ Seluruh Indonesia kali ke-3 (2000)
Ceramah dan dialog bersama pelajar-pelajar di Washington, Amerika Syarikat (1996)
Dalam kesibukannya menunaikan tanggungjawab, tugasan dan berdakwah, Allahyarham sempat menulis buku bertajuk Irsyad Hukum (menyentuh persoalan semasa), Muammalah Hidup Islam selain kertas kerja berkaitan pelbagai topik seperti ibadat, Baitulmal, ulama dan keluarga.
Justeru, dek ketokohan dan keperibadiannya, Allahyarham dianugerahkan beberapa bintang kebesaran dan pingat seperti Tokoh Maal Hijrah (2008), Darjah Kebesaran Dato’ Seri Azlanii (2009), Panglima Setia Mahkota (2009) dan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Islam (2010).
Mufti Perak sejak 1985 itu sebelum ini dilaporkan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) berikutan jangkitan Covid-19 menjelang sambutan Aidilfitri bersama-sama isterinya, Puan Seri Ainon Abdul Ghani.
Namun, isteri Allahyaham telah beransur pulih dan dibenarkan keluar dari hospital pada 21 Mei lepas.
Allahyarham meninggalkan isteri serta empat orang anak, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Melayu Sg Rapat oleh petugas kesihatan pada kira-kira pada pukul 6.30 petang, dalam suasana hujan renyai, dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Sementara itu, Timbalan Mufti Datuk Zamri Hashim ketika ditemui media sejurus selepas pengebumian itu berkata Allahyarham adalah tokoh Islam yang terkenal, tegas, dan mempunyai prinsip selain mempunyai keberanian tinggi dalam memperjuangkan agama Islam.
“Kami sempat menziarahi beliau di rumah sebelum dimasukkan ke hospital. Ini satu kehilangan besar kepada seluruh umat Islam di negara ini,” katanya yang meminta dititipkan doa agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Dalam pada itu, Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad dalam satu entri di laman Facebooknya menyifatkan Allahyarham merupakan seorang agamawan terbilang dan tidak pernah jemu mencurahkan jasa dalam menyebarkan dakwah Islam.
“Sebak sungguh rasanya menerima khabar duka ini. Saya sendiri banyak kenangan bersama Allahyarham. Seorang yang ilmuan yang cukup dihormati dan disegani. Dalam ketegasannya, terselit santun dan lembut tutur kata. Berdakwah secara berhikmah dan berilmu,” katanya.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham sebelum memulakan sidang akhbar mengenai perkembangan PKP dan Covid-19 di Putrajaya, hari ini.
Pastinya antara pesanan Allahyarham yang popular untuk peringatan semua adalah: “Pemimpin tidak seharusnya menggunakan hukum agama bagi meraih undi hingga menyebabkan masyarakat keliru”. – BERNAMA