ALOR SETAR: Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) digesa agar menjadi ‘mata telinga’ kerajaan untuk memantau permasalahan rakyat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau total lockdown yang dikuatkuasakan 1 hingga 14 Jun ini.
Pesuruhjaya PAS Kedah, Senator Ahmad Yahaya berkata, pelaksanaan PKP penuh itu akan memberi cabaran besar yang terpaksa dihadapi rakyat.
“Kita mengharapkan kerjasama JPKK agar bertindak sebagai ‘mata telinga’ kerajaan di peringkat akar umbi dan sentiasa memantau dan mengenal pasti mereka yang benar-benar memerlukan bantuan,” ujar beliau.
Hal berkenaan katanya boleh diselaraskan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) dan Penyelaras Dun agar tiada yang terlepas pandang daripada menerima bantuan dan sumbangan.
Menurutnya lagi, cabaran besar yang terpaksa dihadapi oleh rakyat ialah terhentinya hampir keseluruhan kegiatan ekonomi yang mengakibatkan mereka yang terlibat akan hilang pendapatan.
“Kita tidak nafikan ramai yang akan terkesan serta terjejas teruk sepanjang tempoh total lockdown ini.
“Namun apabila maslahat menjaga nyawa lebih penting, kerajaan terpaksa membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat,” sambung Ahli Dewan Negara itu lagi.
Namun dalam masa yang sama beliau yakin kerajaan tidak akan berlepas tangan dan pastinya melalui pelbagai agensi selain kerjasama Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di peringkat daerah, agihan dan edaran bantuan kepada yang terkesan akan digerakkan.
“Saya juga mengharapkan agar PAS kawasan seluruh negeri segera menubuhkan Bilik Gerakan Bantuan Pandemik Covid dalam usaha menangani bebanan rakyat.
“Khidmat Malaysia di peringkat kawasan juga hendaklah diaktifkan segera dan bertugaslah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan pihak berkuasa,” sambung Ahmad.
Selain itu bagi mereka yang mempunyai lebihan harta katanya inilah masa terbaik untuk bersama-sama membantu meringankan penderitaan golongan yang memerlukan
“Hulurlah sumbangan kepada yang memerlukan. Ia juga boleh dibuat melalui Tabung Bantuan Pandemik Covid yang diwujudkan di setiap kawasan.
“Selain itu jangan lupa berdoa setiap hari ke hadrat Allah SWT agar bencana pandemik Covid-19 ini terangkat dari muka bumi ini. Allah sebaik-baik Pelindung dan Pemberi Pertolongan,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 29/5/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!