Ikhtiar, amal soleh, doa dan tawakal, kerajaan selayaknya mendahului

- Advertisement -

SEJURUS mengambil ‘1001 ikhtiar’ termasuk mengisytiharkan total lockdown dan penyediaan vaksin bagi meningkatkan tahap imuniti rakyat menghadapi Covid 19, saya kira kita sudah berada di puncak upaya dan usaha.

Serentak itu, marilah kita tingkatkan juga usaha amal soleh bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT serta banyakkan beristighfar memohon keampunan atas dosa yang dilaku. Jauhi segala maksiat dan mungkar.

Selayaknya kerajaan dahulukan tindakan ini dengan hentikan sepenuhnya sebarang aktiviti dan rancangan yang mendorong kepada maksiat dan kealpaan ummah di dalam televisyen khasnya. (Terutama TV antara yang akan menjadi teman rapat sepanjang tempoh total lockdown)

- Advertisement -

Serikan channel TV dengan alunan ayat-ayat suci Al Quranil Kareem, selawat dan zikir serta tazkirah dan mauizah. Tidak mengapa pada rancangan hiburan sederhana yang tidak menjurus kepada maksiat dan mungkar serta kealpaan dan kelalaian.

Tidak sekadar di TV, kerajaan boleh ambil tindakan yang lebih hebat dan mulia dengan menyekat sepenuhnya laluan akses ke laman-laman lucah dan tidak bermoral di Internet.

Marilah kita renungi dan mengambil iktibar serta tindakan segera dari firman Allah SWT:

‎وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا إِلَىٰ أُمَمٍ مِّن قَبْلِكَ فَأَخَذْنَاهُم بِالْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ لَعَلَّهُمْ يَتَضَرَّعُونَ

Maksudnya: Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul kepada umat terdahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kemiskinan dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri (serta insaf dan bertaubat). (Surah Al Ana’am: 42)

Justeru itu, kerajaan tidak hanya mengambil langkah ikhtiari dengan mengadakan total lockdown serta bantuan pakej prihatin kepada rakyat, namun dalam masa yang sama pimpin dan bimbing rakyat keluar dari lingkaran mungkar yang menyudut mereka dalam murka Allah SWT.

Saya yakin dan percaya, kerajaan boleh melakukannya. Bantu rakyat, tidak sekadar bantu keperluan ekonomi mereka tetapi bantu jua keperluan spiritual mereka, agar Allah merahmati kita semua dan segera mengangkat musibah yang melanda negara.

Ingat penegasan Allah SWT:

‎فَلَوْلَا إِذْ جَاءَهُم بَأْسُنَا تَضَرَّعُوا وَلَٰكِن قَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَزَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami. Tetapi malangnya, hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran) dan syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan. (Surah Al An’am: 43)

Ayuh, belum terlambat untuk kita melakukan suatu yang berkesan bagi memutuskan rantaian Covid 19.

Banyakkan berdoa. TV di semua channel boleh paparkan doa-doa yang mathur untuk ditiru baca oleh orang ramai. Para selebriti berbakat dan ramai follower, boleh bantu dengan segala kreativiti mereka bagi menghasilkan produksi yang membawa rahmat Allah kepada kita semua.

Insya-Allah, mempraktiskan amalan Islam tidak menjadikan kita sunyi dan sepi. Malah ia menyegarkan jiwa dan minda. Bahkan hidup kita diselubungi ketenangan dan kejayaan hasil berkat dan rahmat daripada-Nya.

Saya percaya, musibah yang melanda ini menyimpan sejuta hikmah buat kita semua. Antaranya, agar negara dapat reset semula sistem dan polisi politik, ekonomi dan sosial agar sedikit demi sedikit dapat diluruskan mengikut panduan dan pedoman Tuhan Yang Maha Mencipta iaitu Al Quranil Kareem.

NASRUDIN HASSAN
Yang Dipertua YADIM
17 Syawal 1442 | 29 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 29/5/2021

- Advertisement -