Sumac ubat COVID-19: Perihal mimpi dari Nabi

- Advertisement -

HAIRAN saya! Semua mesej masuk WhatsApp group terus ditelan tanpa risau. Jika kita risau tertelan racun yang boleh memudaratkan tubuh, kita sepatutnya lebih risau menelan dakwa-dakwi tak pasti mengenai agama. Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan Nabi kita S.A.W. Dakwa sesuatu Hadis atas nama Nabi S.A.W tanpa bukti termasuk dosa besar yang disepakati para ulamak. Sabda Baginda S.A.W:

- Advertisement -

عَنْ الْمُغِيرَةِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ

“Sesungguhnya berdusta atas namaku tidak sama dengan dusta ke atas orang lain. Sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja, maka tersedialah tempatnya dalam neraka.”

(Sahih al-Bukhari, Hadis no 1209)

Terbaru orang berkongsi kisah mimpi seorang wanita alim Turki yang bermimpi bertemu Nabi sebanyak 2 kali di atas Bukit Judi. Dalam mimpi itu Nabi menyatakan ubat Virus Corona adalah Sumac sejenis herba seiras Za’faran.

Jika kita mencipta sesuatu dakwaan palsu pada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), atau mendakwa bermimpi YDPA mengarahkan sesuatu yang tak pasti, lalu kita sebarkan dakwaan dan mimpi itu serata Malaysia, apa agaknya pihak Istana Negara atau pihak polis lakukan? Anda mungkin ditahan atas dakwaan menghina YDPA. 

Itu baru YDPA, pemimpin tertinggi di Malaysia, pastinya sebarang dakwaan atas nama Nabi S.A.W jauh lebih bahaya! Tambahan pula mimpi tak boleh dijadikan hujah dalam Islam kerana sandaran mimpi sangat rapuh. Boleh jadi ia benar, boleh jadi ia sekadar mainan tidur, boleh jadi ia tipu daya syaitan yang mahu sesatkan kita. Dalam Islam, mimpi ada 3 jenis. Sabda Rasulullah S.A.W:

إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ رُؤْيَا الْمُسْلِمِ تَكْذِبُ وَأَصْدَقُكُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا وَرُؤْيَا الْمُسْلِمِ جُزْءٌ مِنْ خَمْسٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنْ النُّبُوَّةِ وَالرُّؤْيَا ثَلَاثَةٌ فَرُؤْيَا الصَّالِحَةِ بُشْرَى مِنْ اللَّهِ وَرُؤْيَا تَحْزِينٌ مِنْ الشَّيْطَانِ وَرُؤْيَا مِمَّا يُحَدِّثُ الْمَرْءُ نَفْسَهُ فَإِنْ رَأَى أَحَدُكُمْ مَا يَكْرَهُ فَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ وَلَا يُحَدِّثْ بِهَا النَّاسَ

“Apabila waktu (kiamat) semakin dekat, hampir sahaja mimpi seorang Muslim tidak mendustainya. Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar lidahnya. Mimpi orang Islam adalah satu bahagian dari 45 bahagian kenabian. Mimpi itu 3 jenis: (1) Mimpi yang benar adalah perkhabaran gembira dari Allah, (2) mimpi gangguan dari syaitan (untuk menyedihkan) dan (3) mimpi yang dipengaruhi oleh jiwa seseorang (psikologi). Sekiranya kamu bermimpi sesuatu yang tidak kamu sukai, maka bangunlah bersolat dan usahlah diceritakan mimpi itu kepada manusia.

(Sahih Muslim, Hadis no 4200).

Dalam pengkategorian di atas, cuma satu jenis mimpi sahaja yang mungkin benar! Itu pun bergantung pada integriti yang bermimpi:

إِذَا اقْتَرَبَ الزَّمَانُ لَمْ تَكَدْ رُؤْيَا الْمُسْلِمِ تَكْذِبُ وَأَصْدَقُكُمْ رُؤْيَا أَصْدَقُكُمْ حَدِيثًا

“Apabila waktu (kiamat) semakin dekat, hampir sahaja mimpi seorang Muslim tidak mendustainya. Orang yang paling benar mimpinya adalah orang yang paling benar lidahnya.”

(Sahih Muslim, Hadis no 4200)

Tambah parah apabila mesej mengenai mimpi Sumac itu cuba menunggang pula sebuah Hadis Nabi S.A.W yang mengatakan: 

مَنْ رَآنِي فِي الْمَنَامِ فَسَيَرَانِي فِي الْيَقَظَةِ أَوْ لَكَأَنَّمَا رَآنِي فِي الْيَقَظَةِ وَلَا يَتَمَثَّلُ الشَّيْطَانُ بِي

“Sesiapa yang melihatku dalam mimpinya, maka dia akan melihatku ketika sedar, atau dia seakan-akan sudah melihatku ketika sedar, sesungguhnya syaitan tidak dapat menjelma dalam rupaku.”

(Sahih al-Bukhari Hadis no 6478, Sahih Muslim Hadis no 4207 dan Sunan Abu Dawud Hadis no 4369)

Hadis ini Sahih tanpa pertikai. Tapi cara penyebar mesej sandarkan Hadis ini yang jadi pertikaian. Pernah saya dengar kisah seorang wanita menjadi pengikut tegar Ayah Pin selepas bermimpi melihat Ayah Pin duduk bersebelahan dengan Nabi. Lalu dia terus memasang akidah, Ayah Pin direstui Nabi dalam perjuangannya.

Hadis mimpi bertemu Nabi S.A.W perlu diaudit terlebih dahulu kerana syaitan memang tak mampu menyamar dalam rupa Nabi S.A.W, tapi dia mampu menyamar dalam rupa orang lain, lalu mendakwa dirinya sebagai Nabi. Sebab itu, para ulamak Salaf akan menilai dahulu sebarang dakwaan mimpi jumpa Nabi S.A.W untuk menjamin kesahihannya. Pernah seorang lelaki bertemu Tabi’in tersohor, Muhammad bin Sirin dan menceritakan dia bermimpi bertemu Nabi. Imam Ibn Sirin minta lelaki itu menggambarkan rupa Nabi. Setelah didapati gambaran lelaki itu tidak bertepatan dengan gambaran para Sahabat dalam Hadis, Muhammad Ibn Sirin menolak dakwaan mimpi si lelaki. (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari ketika Imam Ibn Hajar mengulas Hadis no 6478).

Pernah juga seorang lelaki menemui Abdullah Ibn ‘Abbas R.A, sepupu Nabi dan mendakwa bermimpi bertemu Nabi S.A.W. Wajah Nabi yang dilihatnya sangat mirip dengan rupa cucu Nabi, Hasan bin Ali R.A. Abdullah bin ‘Abbas lalu mengesahkan mimpi ini (Mustadrak al-Hakim Hadis no 8301).

Dalam kedua riwayat ini jelas menunjukkan ‘parameter kebenaran’ rupa Nabi yang dimimpi adalah nilaian para Sahabat kerana mereka adalah satu-satunya generasi yang melihat Nabi dengan mata kepala mereka.

Jika benar mimpi itu datang daripada Nabi, sabarlah seketika. Jangan terus disebar dengan yakin sebaliknya mohon para doktor atau saintis atau mereka yang pakar supaya kaji apa nutrisi dalam Sumac. Adakah benar ia mujarab untuk membunuh Virus Corona? Jika benar berapa dosnya? Buktikan dahulu, barulah nampak umat Islam lebih cerdik dan berpijak di bumi nyata dan bukannya umat yang suka merujuk pada mimpi atau suka bermimpi di siang hari.

Nasihat saya kepada semua pembaca dan pengguna media sosial. Sabar! Sabar! Sabar! Jangan mudah mendakwa sesuatu atas nama Nabi kita yang tercinta. Sayangilah Nabi kita secara betul mengikut landasan ilmu.

ABDULLAH BUKHARI BIN ABDUL RAHIM

Ulasan saya

Buat masa kini belum ada lagi satu kajian secara pra klinikal dan klinikal yang mengaitkan penggunaan Sumac ini bagi mencegah atau merawat COVID-19. Hasil carian, terdapat satu penulisan yang membicarakan beberapa khasiat Sumac. Penulisan ini dalam bentuk penerokaan dan idea awal. Belum pun dilakukan ke atas sel makmal ataupun piring pateri seperti mana penerokaan dan pembuatan vaksin di seluruh dunia. Malah kajian atas haiwan pun belum dimulakan. Tunggulah dulu sehingga mimpi jadi kenyataan.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 28/5/2021

Pautan:
Yousery E. Sherif, Sami A. Gabr, Nasser M. Hosny, Ahmad H. Alghadir, Rayan Alansari, “Phytochemicals of Rhus spp. as Potential Inhibitors of the SARS-CoV-2 Main Protease: Molecular Docking and Drug-Likeness Study”, Evidence-Based Complementary and Alternative Medicine, vol. 2021, Article ID 8814890, 15 pages, 2021.

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -