KUALA LUMPUR: Kesemua jenis vaksin yang dibekalkan kerajaan kepada rakyat Malaysia diyakini tahap keberkesanan perlindungan terhadap varian baharu Covid-19 sehingga 88 peratus, kata Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Tengkawang Terengganu Dr Suhazeli Abdullah.
Menurut beliau, farmasutikal Pfizer telah melakukan kajian bahawa vaksin berkenaan mampu melindungi varian baharu sehingga 88 peratus.
“Begitu juga kajian-kajian yang telah dibuat oleh Moderna, ia boleh berkesan terhadap 90 peratus terhadap varian B.1.1.7, manakala 62 peratus berkesan terhadap varian B.1.351. Begitu juga dengan AstraZeneca, ia boleh mencecah sampai 70 hingga 80 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Webinar Intelektual Negara 6 bertajuk Vaksin: Sejauh Manakah Ia Mampu Menjadi Penyelamat yang disiarkan secara langsung di media sosial Pertubuhan Intelektual Negara, malam tadi.
Turut menjadi panel Timbalan Pengarah Pusat Kajian Pembangunan dan Inovasi (IRDI) International Medical University (IMU) Prof Dr Azizi Ayob, Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatana Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani.
Pakar Perubatan Keluarga Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru, Johor Dr Sakinah Sulong serta Pakar Sensor and Nanotechnology Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Hanif Yaacob, selaku moderator.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), walaupun kajian yang dijalankan terhadap varian berkenaan agak kecil dan tidak meluas tetapi trek rekod sudah dapat dikenalpasti.
“Yang mana kajian itu dibuat di India, yang mana varian itu berada di sana. Jadi apabila kita melihat kajian telah dilakukan di India, ia boleh lindungi varian daripada India sehingga 88 peratus.
“Ini mungkin satu kejayaan yang kita boleh ambil pengalaman bahawa pengambilan vaksin ini adalah selamat digunakan, mengurangkan kesan sampingan dan setiap daripada individu kita selamat,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kes pertama membabitkan rakyat tempatan yang positif Covid-19 dengan varian membimbangkan (VOC) India B.1.617.2.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes berkenaan adalah kontak rapat kepada seorang individu warga India yang bersama dengannya menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Wilayah Persekutuan Labuan pada 23 April lalu.
“Warga asing itu dikesan positif Covid-19 ketika tempoh kuarantin manakala rakyat tempatan ini pula mempunyai gejala pada 3 Mei lalu seterusnya menjalani ujian Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) pada hari sama seterusnya dikesan positif sehari selepas itu selepas menjalani Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).
“Sehingga kini terdapat enam kes yang dijangkiti varian Indian B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2),” katanya dalam kenyataan media, di sini pada Selasa. – HARAKAHDAILY 28/5/2021