LGM: Tiada perjanjian pajakan, transaksi jual beli hartanah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lembaga Getah Malaysia (LGM) memandang berat kenyataan tidak benar dan kesalahan fakta yang tular di media sosial berkaitan isu penjualan serta pajakan hartanah miliknya.

LGM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya mengesahkan bahawa belum ada sebarang urusan penjualan, pajakan atau urus niaga berkaitan dua lot tanah milik LGM iaitu Lot 20012 dan Lot 20013 (masing-masing nombor lama dikenali sebagai Lot 75 dan Lot 76) di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

- Advertisement -

Katanya, semua penjualan atau pajakan tanah milik LGM perlu mendapat perakuan lembaga ini terlebih dahulu sebelum dimajukan kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali untuk kelulusan.

Menurutnya, LGM telah menerima permohonan daripada beberapa syarikat bagi membeli Lot 20012.

Tambahnya, pertimbangan akan dibuat selaras dengan penilaian oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan serta pandangan Jabatan Warisan Negara

Bagi Lot 20013, ujarnya tawaran pajakan telah dibuat secara tender terbuka dan telus oleh LGM Properties Corporation (LGMPC) iaitu perbadanan milik LGM, pada Oktober 2020.

“Terdapat beberapa syarikat yang telah menghantar permohonan melalui tender tersebut.

“Berdasarkan kriteria, proses dan prosedur yang ketat oleh LGMPC serta LGM, Al-Noor Foundation telah terpilih setelah membida dengan bidaan tertinggi,” jelasnya.

Namun begitu, katanya keputusan bagi pajakan Lot 20013 dan penjualan Lot 20012 masih belum diputuskan oleh Lembaga Pengarah LGM.

“Ini bermaksud, ia belum diangkat untuk pertimbangan dan persetujuan YB Menteri,” ujarnya lagi.

Justeru, ujarnya LGM menegaskan tidak ada sebarang perjanjian pajakan atau transaksi jual beli yang termeterai dengan mana-mana pihak.

Menurut LGM lagi, mengikut peraturan, semua penilaian hartanah sama ada untuk pajakan atau penjualan akan dirujuk kepada JPPH sebelum kadar pajakan serta nilai pasaran semasanya ditentukan supaya memberi pulangan hasil yang terbaik untuk LGM. – HARAKAHDAILY 28/5/2021

- Advertisement -