Penyelamat masih cari mayat di bawah runtuhan di Gaza

- Advertisement -

KOTA BHARU: Misi bantuan kemanusiaan tetap diteruskan bagi membantu penduduk di Gaza, Palestin susulan pengumuman gencatan senjata oleh zionis Isreal baru-baru ini.

Pengarah I-Reach Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Johan Ariff Ismail berkata, sebanyak 10,000 pek makanan dan kit kesihatan akan disumbang di bandar Gaza, Beit Hanoun dan Rafah secara berperingkat.

Bagaimanpun katanya, terdapat beberapa lokasi yang tidak dapat dimasuki susulan kebimbangan pasukan mencari dan menyelamat, masih terdapat mayat di bawah runtuhan bangunan.

- Advertisement -

“Minggu lalu kita serahkan 300 pek makanan, kali ini kita sasarkan 10,000 pek makanan yang akan diedarkan secara berperingkat-peringkat,” katanya, di sini.

Awal pagi Jumaat lepas, zionis Israel mengumumkan gencatan senjata selepas berdepan serangan roket yang dilepas pejuang Hamas dan Jihad Islami sehingga membantut ekonomi Tel Aviv, sebagai tindak balas pencerobohan tentera zionis di Masjid al Aqsa.

Malah rejim haram Israel turut menganggarkan mengalami kerugian kira-kira RM8 bilion ekoran serangan balas roket pejuang.

Johan juga berkata, pada fasa sekarang begitu kritikal kerana ada kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa dan perlu diberi perhatian akibat trauma.

“Insya-Allah sepanjang kempen bantuan sehingga Jun ini, kita akan cuba bantu seramai mungkin, bergantung kepada situasi terkini.

“Sekarang seramai 20 sukarelawan gabungan NGO sedang bertungkus-lumus di Gaza walaupun mereka bimbang gencatan itu akan dicabuli sekali lagi,” ujarnya.

Kata beliau juga, I-Reach Mapim memerlukan sumbangan orang ramai untuk membantu rakyat Palestin secara berterusan.

Sumbangan boleh dibuat menerusi akaun I-Reach 553038585368 (Maybank) atau layari laman web www.ireach.org.my untuk mendapat maklumat lanjut. – HARAKAHDAILY 27/5/2021

- Advertisement -