Siasat segera kehadiran pesawat pengintip Israel

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan diminta membuat siasatan segera terhadap kehadiran pesawat pengintip prototaip Israel yang dilapor menjalankan penerbangan ujian merentasi ruang udara Putrajaya sebelum mendarat di Singapura.

Yang Dipertua merangkap Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen (PVATTBM), Dato’ Ismail Abidin berkata, walaupun ia dikatakan hanya penerbangan biasa tetapi kehadiran pesawat yang dilengkapi dengan perkakasan perisikan elektronik itu mengundang pelbagai persoalan.

- Advertisement -

“Kita memang menentang sebab pesawat Israel melalui ruang udara kita tanpa kebenaran. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku baik sekarang mahu pun di masa akan datang,” katanya di sini hari ini.

Oleh itu beliau meminta pihak berkuasa segera menjalankan pemerhatian dan siasatan tujuan sebenar pesawat tersebut berlegar di ruang udara Malaysia.

Dalam pada itu, jurnal Defense Security Asia melaporkan pesawat jenis Boeing 737-400 bernombor 4X-A00 itu adalah milik Israel Aerospace Industries-Elta (IAI-Elta) iaitu sebuah syarikat kontraktor berpangkalan di Tel Aviv.

Pesawat itu juga digunakan untuk tujuan risikan pemantauan maritim dan gambaran risikan.

Pemeriksaan laluan pesawat menerusi laman Flightradar24 mengesahkan kehadiran pesawat itu di Lapangan Terbang Paya Lebar di Singapura. – HARAKAHDAILY 26/5/2021