Perlu vaksinasi sebelum kembali hidup normal

- Advertisement -

KOTA BHARU: Masyarakat di negara ini khususnya Kelantan perlu menepis dakyah negatif berhubung program vaksinasi sekiranya ingin kembali kepada kehidupan normal.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, masyarakat tidak seharusnya terikut-ikut dengan kempen negatif untuk menggagalkan vaksinasi oleh pihak tertentu.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Kelantan turut mengambil peluang untuk menyertai program vaksinasi mengikut jadual yang telah ditetapkan.

- Advertisement -

“Ambo (saya) ada baca berita berkaitan rakyat Kelantan hampir 10,000 yang sudah naik nama di My Sejahtera tidak hadir untuk cocok (suntik).

“Ambo begitu sedihlah sebabnya kalau di tempat lain khususnya di Kuala Lumpur sampai berebut untuk mendapat peluang awal cocok.

“Di Selangor sampai orang sanggup bayar antara RM300 hingga RM400 asalkan dapat suntikan awal,” ujarnya pada kenyataan di media sosialnya hari ini.

Menurutnya, pada peringkat awal beliau fikir perkara itu (10,000 tidak hadir) hanya satu gurauan, sebaliknya ia adalah kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat di negara ini khususnya Kelantan supaya mengambil peluang berkenaan untuk mengelak berlaku perkara sedemikian.

Katanya, rakyat Kelantan tidak perlu takut untuk menghadiri program vaksinasi kerana tidak berlaku sebarang kesan negatif selepas mengambilnya.

Beliau turut menyarankan pimpinan masyarakat supaya mengenal pasti masalah yang dihadapi golongan berkenaan yang gagal menghadiri pada tarikh temujanji suntikan.

“Kenapa perkara itu berlaku, adakah kerana takut, atau tidak ada kenderaan untuk pergi membuat suntikan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, di kawasan Parlimen Ketereh dibuka sebanyak 24 pusat vaksinasi untuk memberi kemudahan kepada orang ramai mengambil vaksin mengikut jadual.

Katanya, kerajaan telah membelanjakan peruntukan yang besar untuk memberikan dos percuma pada rakyat agar mereka tidak dijangkiti virus bahaya Covid.

Beliau turut mengingatkan rakyat di negara ini supaya menyedari Covid-19 sememangnya bahaya di mana hampir satu keluarga boleh meninggal dunia sekiranya diserang virus Covid-19.

Semalam Jabatan Kesihatan Kelantan mendedahkan hampir 10,000 warga emas tidak hadir pada temujanji suntikan vaksin Covid kerana tidak menyedari tarikh tersebut dan tiada aplikasi MySejahtera. – HARAKAHDAILY 26/5/2021