Wanita Palestin tarbiah anak selepas suami syahid

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Wanita Palestin berperanan sebagai tulang belakang dalam memastikan pewaris perjuangan mereka ditarbiah dengan wahyu Ilahi sebaik mungkin, demikian kata Pengasas Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Menurut beliau, wanita di Palestin berperanan besar dalam  mendidik anak-anak mereka setelah pemergian suami mereka yang syahid di medan perang.

“Biasanya lelaki akan berada di hadapan dan wanita di akan menyokong di belakang tetapi kita tak kata menyokong di belakang itu bermaksud peranan mereka kurang daripada peranan lelaki tetapi kita menyebut dalam erti kata kalau wanita tidak ada, lelaki yang berada di hadapan akan tumbang dan jatuh, itu hakikat.

- Advertisement -

“Kalau kita tengok sebenarnya semua pejuang utama yang ada di bumi Palestin, bilamana suami masing-masing sibuk dengan urusan dakwah dan perjuangan di dalam Al-Qassam dan sebagainya.

“Pastinya ada wanita di belakang yang mana tugasnya yang paling hakiki dan paling utama ialah mentarbiyah anak-anak untuk mewarisi perjuangan perjuangan ayah mereka dan peranan ini sangat jelas dengan peranan yang mereka gunakan untuk mendidik anak-anak ini supaya memahami keadaan di bumi Palestin

“Contohnya keadaan anak-anak ini yang dididik untuk mendekati al-Quran dan menjadikannya sebagai tunjang kehidupan mereka dan peranan ini sangat jelas,” katanya.

Ujarnya, pengorbanan serta perjuangan seorang wanita Palestin yang paling besar iaitu berserah dan reda kepada Allah SWT apabila suami mereka berjihad membebaskan bumi Palestin lalu syahid di jalan-Nya.

Nadir mengulas demikian di dalam program Bual Bicara Menjejaki Jihad Wanita Palestin yang disiarkan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) melalui media sosial TV Wanita Sejahtera, semalam.

Menurutnya lagi, wanita-wanita Palestin mempunyai semangat juang yang sangat tinggi kerana mereka dilahirkan dalam suasana perjuangan yang menuntut seluruh ahli keluarganya berjihad di jalan Allah.

“Maksudnya, kehidupan sekeliling mereka adalah golongan yang berada di dalam perjuangan membebaskan tanah air mereka daripada Zionis Israel, sebagai contoh isteri saya, semua ahli keluarga lelakinya syahid di jalan Allah iaitu ayahnya, suaminya, adik lelakinya dan datuknya.

“Mereka (wanita Palestin) melihat bagaimana ahli-ahli keluarga mereka setiap malam menjaga sempadan dan kadang-kadang ada yang mana tidak lagi dapat kembali setelah membuat segala persiapan untuk ke medan orang,” katanya.

Dalam waktu yang sama kata Pengasas Cinta Gaza Malaysia itu, wanita di sana melalui sistem pentarbiahan yang sangat cantik dalam mendidik keperibadian dan sahsiah diri.

“Isteri saya juga sibuk dengan pelbagai urusan keagamaan seperti pergi ke masjid, usrah dan sebagainya. Dia mendekati penduduk-penduduk yang telah kehilangan suami dan menjadikan mereka ini sebagai tempat untuk menyatakan tentang perjuangan.

“Mereka ini sebenarnya wanita-wanita yang berada di bawah kumpulan Hamas dan mereka juga merancang pelbagai program kebajikan disini.

“Contohnya semalam dimaklumkan kepada saya, mereka nak buat program untuk wanita-wanita yang telah kehilangan suami di dalam perang baru-baru ini.

“Dia (isteri saya) nak duduk bersama dengan mereka dan nak bagi semangat balik untuk memberitahu bahawa kehilangan harta benda dan suami tidak ada masalah sebab kita buat ini semua ialah untuk pembebasan negara,” katanya.

Selain dari itu katanya, puluhan ribu anak-anak Palestin berjaya menghafaz al-Quran setiap tahun hasil tarbiah yang cantik oleh para ibu mereka yang mana menjadikan peranan wanita Palestin sangat besar dalam melahirkan generasi pejuang jihad.

“Anak lelaki akan dihantar untuk menghafaz al-Quran ke kelas-kelas selepas maghrib, manakala anak perempuan selepas subuh. Jika musim panas, mereka akan dihantar ke program selama dua bulan bagi mengkhatamkan 30 juzu al-Quran.

“Semestinya para ibu (golongan wanita) yang berperanan dalam memastikan anak-anak mereka menyiapkan kerja sekolah dan belajar bersungguh-sungguh sebab mereka tahu perjuangan ini bukan semata-mata cita-cita untuk menjadi doktor dan sebagainya tetapi cita-cita jauh lebih besar yang langsung tidak mementingkan diri mereka iaitu untuk membebaskan bumi Palestin,” ujar Nadir. – HARAKAHDAILY 25/5/2021

- Advertisement -