KOTA BHARU: Polis Kelantan berjaya menumpaskan kumpulan ‘goldcar’ dengan nilai rampasan sebanyak RM600,000 sekali gus berjaya menyelesaikan 27 kes jenayah.
Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, kumpulan itu diketuai seorang lelaki Melayu dikenali sebagai ‘Malik’ juga mempunyai 18 rekod kesalahan lampau berkaitan kes jenayah.
“Hasil risikan dan maklumat yang diperolehi, seramai tujuh lelaki Melayu berumur lingkungan 20-an hingga 40-an dipercayai terlibat dalam kejadian itu ditangkap bermula pertengahan April sehingga bulan ini di sekitar Kota Bharu dan Pasir Puteh.
“Kesemua mereka memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah, manakala empat lelaki Melayu ditangkap merupakan pelaku dalam kejadian pecah rumah dan selebihnya pembeli barangan hasil kegiatan kumpulan terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Kontijen (IPK) Kota Bharu, di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, polis Kelantan berjaya menyelesaikan sebanyak 27 kes jenayah melibatkan kes pecah rumah dan membawa lari kenderaan.
Bagaimanapun sebanyak 24 kes berkenaan melibatkan daerah Kota Bharu, Bachok, Tumpat, Pasir Puteh. Selain itu dipercayai mereka turut melakukan kegiatan sama di daerah Besut Terengganu.
“Hasil tangkapan yang dilakukan turut menemui barangan digunakan bagi melakukan kegiatan jenayah termasuk drone dan peralatan untuk menyamun rumah mangsa,” ujarnya.
Shafien juga berkata, dua suspek kumpulan itu dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Manakala baki ahli kumpulan lain masih dalam tempoh reman sehingga 28 Mei di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.
Sebelum ini Jabatan Siasatan Jenayah Kontijen Kelantan menubuhkan pasukan task force yang dinamakan ‘Op Pintu Goldcar’ bagi memberi tumpuan kes berkenaan. – HARAKAHDAILY 25/5/2021