Penduduk tempatan belot juga berlaku di Gaza

Kira-kira 80 peratus penduduk Gaza masih memerlukan bantuan masyarakat antarabangsa bagi menyediakan keperluan harian.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Perjuangan Islam sejak zaman berzaman tidak lekang dari episod pengkhianatan dan pembelotan. Situasi itu juga berlaku di bumi Gaza.

- Advertisement -

Rakyat Malaysia yang menetap di Gaza sejak 2013, Muhammad Nadir al Nuri Kamaruzaman berkata, golongan terbabit turut wujud dalam kalangan penduduk di Gaza.

Katanya, pembelotan dalam kalangan penduduk tempatan menjadi antara punca kediaman penduduk, masjid dan kemudahan awam mudah dijadikan sasaran utama serangan udara tentera zionis Isreal.

“Serangan zionis Yahudi sangat bergantung kepada maklumat yang disalurkan oleh tali barut mereka dalam kalangan orang Palestin sendiri.

“Tidak semestinya roket yang dilepaskan itu dari para pejuang, tetapi ada juga dilepaskan oleh tali barut untuk mencetuskan ketegangan di Gaza,” katanya pada segmen Warna Pagi disiar secara langsung IKIMfm semalam.

Muhammad Nadir juga berkata, pembelotan tersebut juga menyebabkan beberapa pimpinan kanan Hamas seperti Syeikh Ahmad Yassin, Abdul Aziz Rantisi dan ramai lagi menjadi mangsa serangan zionis Israel.

Menurutnya juga sejak berlaku serangan selama 11 hari tentera zionis Israel banyak kerosakan berlaku, di mana kediaman penduduk musnah dan kemudahan awam rosak yang memerlukan bantuan dibina semula.

Kata beliau bagi penduduk yang rumah mereka musnah terpaksa menyewa kediaman lain, di mana di Gaza begitu mahal mencecah sehingga RM2,400 sebulan.

“Kos sewa di Gaza sangat mahal. Bantuan diperlukan paling kurang satu tahun sebelum kediaman asal mereka siap dibaiki.

“Selain itu ada penduduk terpaksa berpindah dari rumah berhampiran sempadan. Dianggar sehingga 50,000 penduduk perlu bantuan kemanusiaan,” katanya.

Nadir juga berkata, kira-kira 80 peratus penduduk Gaza masih memerlukan bantuan masyarakat antarabangsa bagi menyediakan keperluan harian setiap hari.

Walaupun rakyatnya menerima bantuan sehingga puluhan juta hasil sumbangan rakyat Malaysia namun jumlah terbabit belum mencukupi.

“Dalam keadaan ketika sekarang mereka masih lagi merempat di jalanan kerana serangan zionis, malah ada yang terpaksa mengikat perut menahan kelaparan.

“Kesukaran itu terutamanya dialami anak-anak yatim serta isteri kehilangan suami akibat serangan zionis Israel,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/5/2021

- Advertisement -