Gencatan senjata kemenangan buat Palestin

- Advertisement -

TINDAKAN Donald Trump yang agresif mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara haram Israel, telah memberikan semangat kepada golongan pelampau Zionis yang menguasai kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. Sekali gus bermakna mereka sebenarnya menolak penyelesaian dua negara (two-state solution). Mengikut penyelesaian tersebut, ibu negara bagi Palestin ialah Baitul Maqdis Timur.

Setelah dicadangkan ibu negara yang baharu, kawasan tambahan dan tawaran bantuan kewangan yang besar bagi Israel, negara-negara Arab dan Islam didesak untuk melaksanakan normalisasi bagi mengiktiraf negara Israel. Majoriti negara Islam dan Arab menolak desakan tersebut, termasuklah negara yang sudah mempunyai hubungan dengan Israel sebelumnya.

Seorang Menteri Luar pernah membawa cadangan ini kepada Almarhum Yasser Arafat, yang menolak cadangan tersebut dengan jawapan balas yang bijak. Katanya: ”Oleh kerana Baitul Maqdis adalah kepunyaan umat, kamu dipersilakan mengadakan pungutan suara (melalui pilihan raya khas) bagi menentukan kedudukannya.”

Tindakan Trump tersebut memberi semangat kepada Israel untuk bertindak lebih agresif, dengan mengerahkan pendatang Yahudi merampas rumah milik rakyat Palestin yang berada dalam Israel. Selain itu, mereka merampas tempat perniagaan dan kebun zaitun yang menjadi hasil pencarian penduduk Palestin sejak turun-temurun.

- Advertisement -

Tindakan yang sama juga dilakukan di Tebing Barat, tanpa mempedulikan kepada bantahan antarabangsa, termasuk yang berlaku di Amerika dan negara-negara sekutunya di Eropah. Amerika tetap membela hak Israel dengan mempertahankan keamanan negara haram itu dengan bantuan senjata dan hubungan diplomatik.

Tiada pihak menyangka berlakunya intifadah semula dengan lebih meluas sehingga merebak ke dalam Israel. Israel bertindak lebih agresif dengan bertindak ke atas kawasan Sheikh Jarrah di timur Baitul Maqdis yang didiami oleh orang Arab sejak zaman awal lagi.

Di situlah terletaknya kediaman Mufti Palestin, Almarhum Syeikh Amin al-Husaini yang telah dirobohkan menjadi hotel. Almarhum Syeikh Amin al-Husaini ialah seorang mufti yang berpengaruh dalam dunia Islam. Serangan yang dilakukan oleh Israel telah menyebabkan keadaan menjadi lebih tegang, khususnya apabila pendatang yang ganas dibawa masuk.

Baitul Maqdis ialah tanah suci buat tiga agama samawi iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Tindakan Israel melancarkan serangan bukan sahaja membangkitkan bantahan oleh umat Islam, malah diikuti oleh para penganut agama Kristian dan Yahudi Ortodoks Sekular yang anti-Zionis. Seterusnya mencetuskan bantahan sehingga ke dalam Israel.

Tiba-tiba Israel bertindak lebih agresif, apabila melibatkan golongan pelampau Yahudi dengan menceroboh Masjid al-Aqsa. Mereka langsung tidak menghiraukan bulan Ramadhan, ketika umat Islam datang beriktikaf di masjid ketiga paling besar kelebihannya, sebagaimana yang pernah disebutkan oleh Rasulullah SAW. Keadaan demikian telah mencetuskan intifadah yang lebih meluas. Sabda Rasulullah SAW:

“لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّيْنِ ظَاهِرِيْنَ، لِعَدُوِّهِمْ قَاهِرِيْنَ، لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأوَاءَ، حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ. وَهُمْ كَذَلِكَ،” قالوا: “يَا رَسُوْلَ اللهِ وَأَيْنَ هُمْ؟” قال: “بِبِيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.”

“Akan tetap ada satu kumpulan dalam kalangan umatku yang bangkit dengan gagah perkasa menegakkan kebenaran daripada Allah. Mereka tidak boleh dilunturkan semangat oleh orang-orang yang mengecewakan mereka.” Para sahabat bertanya, “Siapakah mereka, wahai Rasulullah?” Baginda SAW menjawab, “Mereka ialah penduduk Baitul Maqdis dan sekeliling Baitul Maqdis.” (Riwayat Ahmad 22320)

Israel mengambil tindakan dengan menyerang Gaza bagi mencetuskan isu, dengan melabelkan dua kumpulan Islam iaitu kumpulan Hamas dan Jihad Islami sebagai kumpulan yang ganas. Mereka mahu memisahkan kumpulan Islam tersebut daripada kumpulan yang lain. Secara tiba-tiba semua kumpulan Islam bersatu menghadapi keganasan Israel.

Hamas dan Jihad Islami bertindak balas dengan melakukan serangan menggunakan senjata jarak jauh yang canggih. Senjata yang telah dibekalkan oleh Iran secara terbuka dan lain-lain negara secara rahsia. Walaupun sekatan terhadap bantuan kepada Palestin dilakukan sejak awal lagi, dengan memutuskan saluran bantuan negara-negara yang memberikan laluan bantuan kepada Palestin.

Negara-negara tersebut mendepani isu dalaman negara masing-masing seperti perbezaan mazhab, agama, suku kaum dan lain-lain. Perkara ini telah mencetuskan peperangan saudara yang berlaku di beberapa negara seperti Yaman, Syria dan Turki. Bahkan ditimbulkan kekacauan di Mesir dan Libya serta digulingkan Kerajaan Sudan.

Lalu tindakan diubah kepada para saintis dan jurutera Palestin dilatih di Iran dan negara yang lain, supaya mereka mampu mencipta senjata sendiri di Gaza. Israel menyekat segala kemudahan seperti bahan-bahan yang diperlukan dan menyerang bengkel-bengkel yang disyaki oleh mereka menjadi tempat penghasilan senjata. Namun begitu, usaha yang dilakukan oleh Israel ternyata gagal kerana persenjataan itu dibina di dalam terowong yang dalam.

Palestin berjaya memungut bahan-bahan daripada kapal-kapal perang yang tenggelam dan berselerak di laut dalam Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua serta senjata Israel yang tidak meletup dan peninggalan sewaktu Perang Gaza dahulu.

Senjata yang telah diciptakan itu mampu melakukan serangan sehingga menjangkau ke seluruh Israel, bahkan sehingga ke utara Israel tanpa bantuan kumpulan Hizbullah. Senjata yang dilepaskan itu juga mampu menembusi sistem pertahanan Israel iaitu kubah besi (Iron Dome) yang dibantu oleh Amerika.  

Israel merancang untuk melakukan serangan darat yang menentukan sasaran dan kejayaan dengan dibantu serangan udara yang bertubi-tubi dan bertali arus. Pasukan khas komando dan risikan dihantar ke dalam Palestin, namun ada yang hilang tanpa diketahui, sama ada mereka dibunuh atau ditawan.

Serangan darat menjadikan Israel lebih sukar kerana banyak bangunan yang runtuh menjadi halangan pergerakan senjata berat milik mereka. Selain itu, Israel juga takutkan senjata anti-kereta kebal dan perisai yang dimiliki oleh Iran dan Turki, kemungkinan senjata yang sama juga dimiliki oleh Hamas dan Jihad Islami. Senjata itu pernah digunakan oleh Hizbullah sewaktu pertempuran di Lubnan dahulu dan mereka sedang menunggu masa untuk bertindak mengikut strategi bersama.

Tambahan lagi, ketika ini Amerika sedang menghadapi masalah dalaman negara mereka. Sedangkan Iran mengambil langkah dengan bersedia menghadapi pangkalan tentera Barat dan kapal induk di kawasan Teluk. Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu turut menyatakan bersedia untuk bertindak membantu Palestin dengan bantuan dari segi ketenteraan.

Israel juga menghadapi tentangan daripada dalam negeri dan Tebing Barat, sekiranya serangan dilakukan. Amerika dan negara Barat pernah gagal dan berundur dari Lubnan apabila membantu Israel, sebagaimana kegagalan mereka dalam pertempuran di Vietnam, Iraq dan Afghanistan.

Amerika mengambil langkah hipokrit dengan melakukan gencatan senjata di Gaza, apabila diadakan rundingan terus dengan Hamas dan Jihad Islami. Pihak Palestin yang lebih kuat, meletakkan syarat hendaklah Israel terlebih dahulu menghentikan serangan dan tidak bertindak ke atas Masjid al-Aqsa dan kawasan Sheikh Jarrah. Manakala, Israel pula mensyaratkan Palestin hanya boleh dibantu dari segi kemanusiaan sahaja, dan terus menghukum Hamas dan Jihad Islami sebagai kumpulan pengganas, disokong oleh Amerika dan negara-negara Barat.

Terkini pelampau Yahudi bertindak dengan terus menceroboh kawasan Sheikh Jarrah dan Baitul Maqdis. Kerajaan Palestin telah memberikan amaran keras bahawa mereka akan kembali kepada penentangan asal sekiranya bumi Palestin terus dicerobohi oleh Yahudi Zionis. Hal ini menunjukkan seluruh Palestin sudah bersatu.

Israel yang dikuasai oleh Zionis tidak akan membatalkan cita-cita mereka untuk menegakkan sebuah empayar agung Bani Isra’il dengan menakluk kawasan bermula dari Lembah Nil sehingga Sungai Furat, sebagaimana yang ditulis di Knesset (pintu Parlimen Israel). Pada masa yang sama, empayar itu akan didirikan dengan merobohkan Masjid al-Aqsa untuk digantikan dengan pembinaan kuil Haikal Sulaiman.

Adapun umat Islam tetap kembali kepada al-Quran yang telah menjanjikan kepada bangsa Yahudi yang mengkhianati Nabi Musa AS dengan balasan. Firman Allah SWT:

﴿سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا  إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ١ وَآتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ وَجَعَلْنَاهُ هُدًى لِبَنِي إِسْرَائِيلَ أَلَّا تَتَّخِذُوا مِنْ دُونِي وَكِيلًا٢ ذُرِّيَّةَ مَنْ حَمَلْنَا مَعَ نُوحٍ  إِنَّهُ كَانَ عَبْدًا شَكُورًا٣ وَقَضَيْنَا إِلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ فِي الْكِتَابِ لَتُفْسِدُنَّ فِي الْأَرْضِ مَرَّتَيْنِ وَلَتَعْلُنَّ عُلُوًّا كَبِيرًا٤ فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ أُولَاهُمَا بَعَثْنَا عَلَيْكُمْ عِبَادًا لَنَا أُولِي بَأْسٍ شَدِيدٍ فَجَاسُوا خِلَالَ الدِّيَارِ وَكَانَ وَعْدًا مَفْعُولًا٥ ثُمَّ رَدَدْنَا لَكُمُ الْكَرَّةَ عَلَيْهِمْ وَأَمْدَدْنَاكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَجَعَلْنَاكُمْ أَكْثَرَ نَفِيرًا٦ إِنْ أَحْسَنْتُمْ أَحْسَنْتُمْ لِأَنْفُسِكُمْ وَإِنْ أَسَأْتُمْ فَلَهَا  فَإِذَا جَاءَ وَعْدُ الْآخِرَةِ لِيَسُوءُوا وُجُوهَكُمْ وَلِيَدْخُلُوا الْمَسْجِدَ كَمَا دَخَلُوهُ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَلِيُتَبِّرُوا مَا عَلَوْا تَتْبِيرًا٧﴾

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya akan tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (1); Dan Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami jadikan Kitab itu petunjuk bagi Bani Isra’il (serta Kami perintahkan mereka): ‘Janganlah kalian menjadikan selain daripada-Ku sebagai Tuhan (untuk menyerahkan urusan kalian kepadanya.’ (2); (Wahai) keturunan orang-orang yang telah Kami bawa bersama-sama dengan Nabi Nuh (di dalam bahtera)! Sesungguhnya dia ialah seorang hamba yang bersyukur. (3); Dan Kami menyatakan kepada Bani Isra’il dalam Kitab itu: ‘Sesungguhnya kalian akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) sebanyak dua kali, dan sesungguhnya kalian akan berlaku sombong dan angkuh dengan melampau. (4); Maka, apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kalian) kali yang pertama daripada dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kalian hamba-hamba Kami yang kuat dan gagah serta amat ganas serangannya; lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kalian); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku. (5); Kemudian (setelah kalian bertaubat), Kami kembalikan kepada kalian kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami berikan kepada kalian dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya. (6); Jika kalian berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kalian lakukan adalah untuk diri kalian; dan jika kalian berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kalian juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kalian) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kalian) untuk memuramkan muka kalian (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (Baitul Maqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya. (7)” (Surah al-Isra’: 1-7)

Kemenangan Islam tidak ditentukan oleh bangsa Arab yang telah mengecewakan Palestin, tetapi ditentukan oleh kesatuan umat Islam yang ditakuti akan perpaduannya.

Maka, umat Islam wajib menghalang sebarang usaha untuk mengagalkan perpaduan umat dengan dicetuskan perbezaan yang menimbulkan ketegangan, serta wajib terus-menerus melibatkan diri dalam membantu Palestin dengan kemampuan masing-masing.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 13 Syawwal 1442 / 25 Mei 2021 – HARAKAHDAILY 25/5/2021

- Advertisement -