Tarbiyah tin milo lebai

- Advertisement -

SEHINGGA hari ke-sepuluh pada 22 Mei kutipan dana Palestin oleh PAS Negeri-negeri berjaya mencatat angka 12 juta lebih. Ia pusingan pertama. Saya menjangka kutipan keseluruhan sebanyak sepuluh juta namun jelas tersasar. 

- Advertisement -

Jangkaan awal saya berasaskan beberapa alasan: 

1. Jangkaan awal Aid4Palestine sendiri hanya sejuta ringgit.

2. Serangan yang dihalakan kepada PAS untuk menghilangkan keyakinan masyarakat.

3. Banyak lagi NGO dan pertubuhan yang menggerakkan kutipan dana.

Atas alasan tersebut dan beberapa alasan lain, sasaran Aid4Palestine dan unjuran saya selepas kutipan melepasi angka enam juta agak relevan. Namun dalam siaran langsung penyerahan negeri-negeri kepada PAS Pusat ternyata ia di luar jangkaan. Timbalan Presiden mewakili PAS Pusat mengisytiharkan RM12 juta lebih.

Ia satu pencapaian luar jangka kutipan pusingan pertama selepas sepuluh hari. Saya sangat pasti kutipan itu bukan hanya di kalangan ahli PAS sahaja tetapi didukung kuat oleh rakyat Malaysia keseluruhannya.

Tiga negeri yang PAS memimpin kerajaan berada di tangga tertinggi melepasi angka juta. Ia tidak termasuk sumbangan kerajaan negeri. Hanya kutipan melalui Badan Perhubungan PAS Negeri.

Perak yang berada di tempat keempat dengan angka lebih 700,000 bersaing dengan Pahang yang mengikut rapat. Ia satu perlumbaan. Perlumbaan berbuat kebajikan yang digalakkan oleh agama.

Apa yang penting adalah kepercayaan dan sokongan rakyat Malaysia kepada usaha PAS. Mereka tidak hiraukan kempen tidak langsung untuk meragukan usaha PAS dari pelbagai pihak.

Ternyata tarbiah tin milo yang menjadi sindiran kepada PAS membuktikan bahawa ia punyai kekuatan luar biasa. Sebelum ini PAS yang dilihat sebagai parti lebai tin milo menjadi bahan ejekan golongan yang merasakan diri mereka profesional.

Ternyata kemampuan tarbiah tin milo diakui oleh kawan dan lawan. Lebih menggembirakan ia diakui rakyat Malaysia. Walaupun lebai didoktrinasikan kepada rakyat sebagai lemah dan Ortodoks namun kepercayaan tinggi rakyat tetap kepada golongan lebai.

Kepercayaan adalah suatu nilai paling penting yang disandarkan oleh rakyat terutama dalam suasana korupsi yang berleluasa khasnya dalam politik. Walaupun sebagai parti politik, namun keyakinan diberikan rakyat pelbagai agama dan anutan politik kepada PAS sangat berharga.

Penghargaan juga selayaknya diberikan kepada petugas PAS di peringkat dasar yang begitu komited melaksanakan tugas. Kepercayaan bermula dari bawah. Sumbangan yang dihulur rakyat pelbagai anutan agama dan politik tentulah bermula keyakinan kepada petugas dari bawah hingga kepada organisasi tertinggi.

Sesungguhnya ahli PAS telah lama diyakini atas amanah dan komitmen melaksanakan amanah. Dengan kuasa yang diberikan kepada PAS ternyata kepercayaan rakyat melonjak tinggi. Ini dibuktikan melalui kutipan tertinggi adalah dari negeri kerajaan pimpinan PAS.

Perak yang turut berada dalam Kerajaan Negeri melalui tiga ADUN berada di tangga keempat disusuli Pahang yang juga berada dalam Kerajaan Negeri. Ia petanda baik untuk masa depan politik dan perjuangan islam PAS.

Ternyata dengan kuasa dan mandat memimpin yang diberikan kepada PAS menyerlahkan sifat amanah dan komitmen ahli dan kepimpinan PAS. Ia petanda PAS adalah parti yang boleh diyakini lebih baik dan amanah untuk memimpin Malaysia. Jangan sesekali meremehkan tarbiyah tin milo.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik
Pesuruhjaya PAS Perak – HARAKAHDAILY 24/5/2021

- Advertisement -