Pejuang al-Qassam berstrategi laku serangan roket

- Advertisement -

KOTA BHARU: Pejuang al Qassam dan briged lain di Gaza tidak pernah melepaskan roket daripada atas bangunan termasuk sekolah atau masjid bagi mengelakkan orang awam menjadi sasaran tentera zionis Israel.

Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Nadir Al Nuri Kamaruzaman berkata, dakwaan yang menuduh pejuang melepaskan roket daripada atas bangunan awam tidak berasas.

Katanya dakwaan itu tidak betul kerana mereka tahu kesan apabila melepaskan roket ke arah pendudukan Israel akan mengakibatka tindak balas yang boleh menyebabkan lebih banyak korban orang awam.

- Advertisement -

“Briged al Qassam bijak dalam melakukan siri serangan dan tidak menjadikan bangunan awam sebagai lokasi mereka.

“Sudah menjadi kebiasaan mereka akan lepaskan tembakan roket di kawasan kosong yang jauh daripada orang awam. Itu fakta yang berlaku sejak dahulu. Jadi saya berharap rakyat Malaysia tidak keliru dengan dakwaan tersebut.

“Kalau ada pun kemungkinan bangunan masjid tersebut terletak tidak jauh daripada lokasi kubu pejuang,” katanya pada program bicara melalui IKIMfm secara langsung pagi ini.

Awal pagi Jumaat lepas zionis Israel mengumumkan gencatan senjata selepas pejuang al Qassam dan Jihad Islami berjaya mengucar kacirkan keadaan di Tel Eviv.

Menurut laporan media asing sektor ekonomi Israel mengalami kerugian lebih AS$2 bilion (RM8.3 bilion) akibat serangan roket pejuang Hamas dan briged lain.

Laporan itu menyebut kerugian yang direkodkan mencecah 0.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lebih buruk daripada pencerobohan tentera Israel pada 2014.

Pegawai Israel dilapor berkata, KDNK negara sekarang mencatatkan kerugian hampir AS$2.14 bilion.

Ketika pertempuran selama 11 hari, pejuang Hamas melancarkan serangan terhadap lokasi ketenteraan dan sektor ekonomi Israel termasuk gas Tamar dan Lapangan Terbang Ben Gurion.

Menurut laporan AGENSI ibu kota Israel, Tel Aviv turut terkena serangan sehingga kehidupan harian penduduk di negara itu terhenti seketika.

Nadir yang merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang bermestautin di Gaza berkata, akibat serangan tentera zionis dikenal pasti sebanyak 1,400 rumah penduduk musnah sama sekali.

Selain itu katanya 13,000 rumah rosak separuh yang perlu dibaiki pulih dengan kos kira-kira RM10,000 setiap sebuah.

“Data tersebut hasil kajian Kementerian Kebajikan Gaza, Kementerian Perumahan dan Kementerian Kesihatan yang bergabung membentuk satu lajnah,” ujarnya.

Oleh itu katanya sokongan berterusan rakyat Malaysia diperlukan bagi membangun semula Gaza, di mana kira-kira 80 peratus penduduk di Palestin mengharap sumbangan daripada luar. – HARAKAHDAILY 24/5/2021

- Advertisement -