KOTA BHARU: Unit Rawatan Rapi (ICU) Medan akan diwujudkan di negeri ini sekiranya Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) tidak lagi mampu menampung pesakit Covid-19.
Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, sehingga kini penggunaan katil ICU sudah mencecah antara 95 peratus dan 100 peratus.
Katanya, dengan situasi sekarang dengan peningkatan kes positif setiap hari, tidak mustahil ICU Medan yang dikendalikan sepenuhnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diwujudkan.
“PKRC buat masa ini jumlah pesakit di ICU memang amat kritikal, sebanyak 42 katil di HRPZ II menempatkan hampir 40 pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan kritikal.
“Kita tidak menolak kemungkinan perkara ini akan berlaku juga di Kelantan, malah perkara itu perlu dielakkan. Sebab itu rakyat perlu sedar dan patuh SOP yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di perkarangan Gelanggang Seni di sini selepas meninjau PKRC khas itu yang menempatkan 156 katil, 30 daripadanya untuk warga emas.
Dr Azman berkata, ICU Medan akan dikendalikan ATM dalam khemah yang dilengkapi dengan katil dan kelengkapan ICU lain sementara Jabatan Kesihatan Negeri menyediakan tenaga kerja.
Sebaliknya beliau berkata, keputusan untuk melaksanakan ICU Medan seperti dilaksanakan Hospital Kepala Batas Pulau Pinang memerlukan keputusan kerajaan negeri dan Jawatankuasa Keselamatan.
Menurutnya juga pihaknya risau dengan tabit rakyat khususnya warga emas yang menyembunyikan simptom Covid-19 menjadi punca kes positif meningkat di Kelantan dalam kategori empat dan lima.
“Kita perlu tingkatkan kesedaran sebab satu lagi masyarakat di Kelantan suka menyorok gejala, bila sudah tahu terdedah pun mereka tidak tampil secara sukarela, ada arahan baru keluar.
“Kita risau perkara ini terutamanya dalam kalangan orang tua sudah demam seminggu, bila datang ke hospital tahap berat kategori empat dan lima, yang ini sebenarnya memerlukan rawatan rapi,” katanya.
Beliau juga berkata, setakat tujuh PKRC dibina di Kelantan, kapasiti semuanya dilihat semakin penuh sekitar 90 hingga 97 peratus dan sedang mempertimbangkan untuk penambahan PKRC seterusnya. – HARAKAHDAILY 23/5/2021