‘Terima kasih rakyat Malaysia’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan, Rahmat Care mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang bermurah hati mengeluarkan wang saku demi rakyat Palestin.

- Advertisement -

Menurut Pengerusinya, Ustaz Muhammad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad China (UMC), walaupun Malaysia kini tidak kurang juga dengan ujian dan dugaan dari aspek ekonomi serta Covid-19, namun masih bermurah hati untuk berkongsi dengan saudara Islam di sana.

“Alhamdulillah, Rahmat Care telah menyerahkan RM10,000 hasil kutipan orang ramai untuk tabung dana untuk saudara kita di Palestin. Terima kasih semua rakyat Malaysia yang sumbangkan dana dan doa untuk Palestin.

“Ia adalah satu nilai yang harus dipuji, berkongsi walau serba kekurangan. Malah sebagai simbol kebersamaan rakyat Malaysia untuk berjuang bersama rakyat Palestin dari jauh,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Tambah beliau, rakyat Malaysia harus sentiasa berjuang dari segi kemampuan yang ada termasuk menyebarkan serta memberi kesedaran mengenai kekejaman zionis Israel.

Katanya, masih ramai yang tertipu dengan tipu daya yang dimainkan zionis Israel melalui sebaran maklumat yang tidak benar, bahkan mereka berselindung dan ‘play victim’ bahawa mereka yang diserang Hamas.

Sedangkan, secara jelas mereka yang senantiasa merobek perjanjian-perjajian damai yang ada termasuk melanggar gencatan senjata, ujarnya.

Melalui kempen #Aid4Palestine yang digerakkan kerajaan, Malaysia telah mengumpul sejumlah RM12 juta bagi fasa pertama bermula 1 Syawal lalu.

Dana yang dikumpulkan itu akan digunakan untuk kebajikan, kesihatan dan pendidikan bagi membina semula kehidupan rakyat Palestin selain dijamin setiap sen akan disumbang terud kepada bumi Palestin. – HARAKAHDAILY 23/5/2021