Zionis pasti gagal capai impian kuasai Semenanjung Arab

- Advertisement -

KOTA BHARU: Gencatan senjata antara rejim haram Israel dan Hamas yang menguasai Gaza dianggap hanya bersifat sementara memandangkan Israel mempunyai cita-cita besar.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Israel sejak dahulu lagi mahu membentuk Israel Raya.

Katanya negara zionis itu mahu menguasai semenanjung Arab yang meliputi Makkah, Madinah dan Palestin bagi mencapai impian membentuk empayar yang besar.

- Advertisement -

“Namun berdasar kepada Hadis-Hadis yang sahih kita yakin zionis Israel akan gagal mencapai impian apabila negara Islam bersatu padu.

“Lagi pun situasai itu dapat dilihat ketika pencerobohan selama 11 hari tentera zionis ke atas bumi Gaza, penduduk di Palestin bersatu bagi mempertahan tanah air mereka,” katanya pada wawancara khas bersama Bernama TV yang disiarkan secara langsung selama sejam bermula jam 9 malam, sebentar tadi.

Wawancara itu dihoskan pengacara disegani ramai iaitu Serkawi Jirim yang diadakan secara atas talian. Serkawi juga berharap dapat berjumpa secara fizikal dengan Tuan Guru di studio Bernama pada suatu hari nanti.

Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Presiden PAS menegaskan biarpun diketahui umum wujud dua kumpulan di Palestin iaitu Hamas dan Fatah, namun sikap kerajaan Malaysia menyokong kedua-dua kumpulan terbabit.

Fatah yang menguasai Tebing Barat mewarisi perjuangan yang ditinggalkan Yasser Arafat mirip perjuangan nasionalisme. Manakala Hamas yang menguasai Gaza pula kumpulan menolak mengiktiraf kewujudan negara haram Israel.

Malah perwakilan Palestin di negara-negara asing yang bertaraf duta termasuk di Malaysia diwakili kumpulan Fatah.

Bagaimanapun Tuan Guru Abdul Hadi menyifatkan berlaku perkembangan menarik apabila semua pihak di Palestin bersatu ketika menghadapi keganasan tentera zionis Israel baru-baru ini.

Ditanya dakwaan Israel mengalami kerugian sehingga USD8 bilion akibat serangan roket pejuang Hamas, katanya jumlah tesebut masih kecil dianggap bagi Israel.

Menurutnya Israel mendapat bantuan dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, syarikat-syarikat besar di barat dan kumpulan Freemason. – HARAKAHDAILY 22/5/2021

- Advertisement -