Teruskan menyumbang untuk rakyat Palestin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) dan Ketua Serikandi Malaysia merafakkan kesyukuran kepada Allah dan menyambut baik gencatan senjata yang telah disepakati pihak Palestin dan Israel pada 20 Mei lalu di seluruh sempadan Gaza.

“Persepakatan ini dicapai hasil desakan banyak pihak termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” ujar Ketua DMPM dan Ketua Serikandi Malaysia, Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Dato’ Seri Rina Mohd Harun dalam kenyataan media bersama, hari ini.

Menurut mereka, sebaik sahaja gencatan senjata diumumkan, rakyat Palestin telah mula keluar ke jalan raya merayakan kedamaian yang bermula jam 2.00 pagi 21 Mei 2021.

- Advertisement -

Pertembungan bermula apabila Mahkamah Agung Israel bakal memutuskan pemilikan harta enam keluarga di Syeikh Jarrah yang mencetuskan tunjuk perasaan penduduk Palestin dengan polis Israel.

Israel sebelum itu melancarkan serangan di Masjidil Aqsa ketika rakyat Palestin sedang solat tarawih pada 8 Mei 2021 mengakibatkan ratusan rakyat Palestin cedera.

Selepas itu serangan demi serangan dilakukan Israel kebanyakannya melalui serangan udara.

Tentera Hamas walau bagaimanapun berjaya membalas serangan Israel hingga menimbulkan kegerunan tentera Israel. Sistem pertahanan Israel juga hampir berjaya dipatahkan.

“Namun begitu, kami masih amat mengharapkan doa yang berterusan dari rakyat Malaysia,” ujar mereka lagi.

Mereka berharap semoga Allah SWT memudahkan urusan rakyat Palestin menjalani kehidupan di hari yang mendatang.

Nuridah dan Rina juga menyeru supaya rakyat terus menghulurkan sumbangan untuk rakyat Palestin kerana sumbangan sangat diperlukan untuk mereka membina kembali kehidupan pasca peperangan.

“Teruskan menyumbang untuk tabung Palestin demi rasa kasih dan sayang kita kepada rakyat Palestin yang sentiasa bersedia mempertahankan Masjidil Aqsa dan tanah air mereka,” ujar mereka lagi. – HARAKAHDAILY 22/5/2021

- Advertisement -