KUALA LUMPUR: The South African Trade and Allied Workers Union (Satawu) atau Kesatuan Pekerja Pelabuhan Afrika Selatan dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa ahli kesatuannya enggan menurunkan kargo dari kapal Zim Shinghai milik Israel yang berlabuh di Pelabuhan Durban, Afrika Selatan pada Khamis lalu.
Menurut Pengerusi Sekretariat Aid4Palestine, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi, tindakan itu sebagai tanda sokongan terhadap rakyat Palestin yang menjadi mangsa pengeboman tentera rejim zionis Israel di Semenanjung Gaza.
Katanya, ketika kapal milik Israel itu berlabuh, pekerja-pekerja datang ke pelabuhan mengadakan demonstarsi terhadap kekejaman rejim zionis Israel dan bersolidariti untuk penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

Menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, Khalil berkata, para pekerja itu kemudiannya meninggalkan pelabuhan tanpa mempedulikan kapal tersebut dan kargonya.
“Ketika ini hampir seluruh dunia mengecam tindakan regim zionis Israel kecuali sekutu – sekutunya yang semakin berkurangan.
“Semoga Palestin akan memperolehi kemenangan mutlak tidak lama lagi,” ujarnya yang juga Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 22/5/2021
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!