Perlu lima tahun bangun semula Gaza

- Advertisement -

KOTA BHARU: Penduduk Gaza memerlukan masa sehingga lima tahun untuk membangun semula penempatan mereka selepas banyak ranap akibat kerakusan zionis Israel.

Kemusnahan akibat dibom dan tembakan roket dalam siri serangan siang dan malam mengakibatkan banyak nyawa melayang dan bangunan runtuh serta ranap.

Pengerusi Yayasan Amal Kelantan, Abdul Hamid Seman berkata, pada serangan ganas tersebut tentera zionis Israel memfokus golongan anak-anak, belia dan wanita.

- Advertisement -

“Ini kerana golongan terbabit merupakan golongan yang melahirkan dan menjadi pewaris negara Palestin pada masa akan datang.

“Zionis Israel mempunyai kelengkapan senjata yang boleh menyasarkan bagi meranapkan bangunan penting di Gaza dan Palestin,” katanya di sini.

Hari ini penduduk Gaza meraikan kemenangan mereka selepas Israel mengumumkan gencatan senjata bagi mengelakkan lebih banyak kemusnahan di bumi yang dijajah Israel.

Pejuang Briged al Qassam dan Jihad Islami memberi tentangan sengit sehingga berjaya mengucarkacirkan Israel dan mengakibatkan kemusnahan besar.

Abdul Hamid berkata, usaha membangunkan semula di Gaza tentunya memerlukan jangka masa panjang dan dana kewangan yang besar.

Katanya Yayasan Amal Kelantan bersama 122 NGO berusaha mengumpulkan dana di bawah kempen Aid4Palestine bagi membantu rakyat Palestin membina semula kehidupan.

Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Kelantan, Dato’ Hassan Mohamood pula berkata, Islam sudah mempunyai asas yang lengkap dalam usaha membantu umat Islam yang terperangkap dalam kezaliman dan keganasan.

Menurutnya, hubungan orang Islam walaupun berbeza keturunan dan warna kulit tetap ada tali persaudaraan.

“Malah hubungan tersebut disifatkan seperti tubuh badan manusia yang sering berhubung antara satu sama lain dalam kesusahan.

“Lebih-lebih lagi di Palestin itu mempunyai kiblat pertama umat Islam iaitu Masjid al Aqsa yang menjadi mangsa serangan zionis Israel,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/5/2021

- Advertisement -